
Ibu bapa kanak-kanak itu dan ibu saudaranya ditahan 2 bulan lalu atas kesalahan dadah, menyebabkan wanita itu terpaksa menjaga 6 cucunya yang berumur bawah 12 tahun.
Apabila ketiga-tiga mereka ditahan, Kanmani hidup dalam keadaan tidak selesa dengan bau busuk akibat lubang kumbahan tersumbat. Dinding rumahnya berlumut dan bumbungnya bocor. Sampah pula memenuhi sekeliling rumah mereka.

Makanan mereka biasanya biskut yang dicicah kari. Anak-anak yang lebih besar ke sekolah dalam keadaan menyedihkan, sementara yang masih kecil terpaksa hidup dalam kekotoran.
Ketika itulah aktivis sosial, Revathy Karunanithy mendapat tahu mengenai kesusahan hidup mereka. Dia bersama Sakthi Malayandi dari Malaysia Indian Youth Council, beberapa ahli perniagaan serta sukarelawan lain membuat kutipan dana bagi membersihkan dan mengecat rumah itu, selain menghubungi jabatan kebajikan untuk bantuan. Revathy membawa kanak-kanak itu ke tadika yang dikendalikannya.

“Menyedihkan mereka tidak tahu ABC dan kelihatan kurang zat makanan. Sekarang mereka perlahan-lahan belajar membaca dan menulis,” katanya kepada FMT semasa lawatan ke rumah itu yang terletak jauh di dalam ladang sawit.
Kisah Kanmani – anak-anak di penjara dan membesarkan cucunya dengan sedikit bantuan – adalah kisah biasa dalam keluarga yang tinggal di Jeram, sebuah pekan kecil di Selangor, negeri terkaya di Malaysia, dan kira-kira setengah jam perjalanan ke pusat bandar Shah Alam.
Kebanyakan mereka di Jeram tinggal di ladang, di mana dadah, gangsterisme dan kemiskinan adalah masalah yang tidak pernah berakhir.

Revathy berkata sukar untuk menghentikan kitaran kemiskinan kerana kebanyakan kanak-kanak berhenti sekolah selepas darjah 6 dan mula bekerja di ladang-ladang, selain terjebak dalam gengsterisme, menjual dan mengambil dadah pada usia muda. Kebanyakan mereka tidak mempunyai IC.
“Mereka fikir ia adalah perkara normal untuk hidup dalam keadaan sebegini. Yang mana bagi mereka, itulah kehidupan mereka.”
Anak gadis berkahwin pada usia muda, ada yang seawal 12 tahun.
“Mereka hanya pergi ke kuil dan mengikat ikatan perkahwinan. Akibatnya, anak-anak mereka tidak didaftarkan kerana tidak ada bukti perkahwinan,” katanya sambil menggelengkan kepala kerana sedih.
“Lebih teruk lagi, mereka sering menderita akibat keganasan rumah tangga.”

Apabila Revathy mendengar kes-kes seperti itu, beliau menghantar anak-anak tersebut ke Tadika Minda Pintar Cemerlang, untuk mengajar dan mendaftarkan mereka bagi kemasukan darjah 1.
“Kami mempunyai guru sekolah rendah lain yang cuba memastikan anak-anak itu meneruskan persekolahan mereka sekurang-kurangnya sehingga darjah 6,” katanya.
Tetapi sesetengah mereka berhenti sebelum mereka memasuki sekolah menengah.

“Di rumah, tidak penting diberikan pendidikan. Ibu bapa mereka tidak berpendidikan dan mereka tidak tahu bagaimana membantu atau menggalakkan anak-anak mereka. ”

Revathy membawa FMT ke beberapa rumah di mana anak gadis mereka berkahwin pada usia muda dan berhenti sekolah.
Gadis berusia 22 tahun, Kalyaani menyesal berkahwin pada usia muda.
“Pada usia 12 tahun, saya jatuh cinta dan berkahwin menentang harapan ibu bapa saya. Saya berhenti sekolah ketika darjah 4.”

Selepas berkahwin, dia bekerja sebagai tukang cuci. Suaminya, 5 tahun lebih tua daripadanya bekerja membaiki khemah. Dia kini menyesal tidak meneruskan persekolahannya.
“Anak-anak saya lemah dalam pelajaran dan saya tidak dapat membantu mereka kerana saya tidak dapat membaca,” katanya.
Kumari, 29, berasa lega suaminya meringkuk di dalam penjara.
“Dia seorang penagih dadah dan gangster. Dia selalu memukul saya sepanjang masa,” katanya sambil meninggikan suaranya.

Dia berhenti sekolah ketika di tingkatan 1 dan kini, seperti Kalyaani, dia sangat menyesal. Dia hidup dengan gaji harian sekitar RM30 sebagai tukang cuci.
Harapan besarnya adalah ketiga-tiga anaknya akan menamatkan sekurang-kurangnya sekolah rendah dan tidak menjadi seperti dia atau ayah mereka.
Revathy berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi bantuan makanan kepada sesetengah keluarga tetapi lebih ramai yang memerlukan bantuan.
Beliau berharap kerajaan secara agresif akan mempromosikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk membantu golongan belia di kawasan itu mempelajari kemahiran yang membolehkan mereka bekerja dalam pekerjaan yang sesuai dalam jangka masa panjang.
“Ini adalah satu-satunya cara untuk menghentikan kitaran dadah, gangsterisme dan jenayah.”