Menteri sindir 60% rakyat ‘tak pandai’ buang sampah

Menteri sindir 60% rakyat ‘tak pandai’ buang sampah

Zuraida Kamaruddin mengingatkan PBT tidak melayan tuntutan menyediakan tong sampah tambahan kerana rakyat perlu belajar mencari tong sampah, bukannya tong sampah mencari mereka.

Zuraida Kamaruddin mendengar penerangan pekerja Alam Flora Bahagian Kitar Semula, Azrul Mohamad pada pelancaran “3R On Wheels” dan Kad Mesra di Ampang, hari ini. Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Mohd Zain Hassan (kiri). (Gambar Bernama)
AMPANG:
Kira-kira 60% daripada 32 juta rakyat Malaysia “belum pandai” membuang sampah ke dalam tong sampah, sindir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Tabiat itu tidak jadi darah daging lagi, tidak tahu urus sampah mereka.

“Di negara maju, sampah peribadi itu kalau tiada tong sampah, mereka akan simpan dalam poket, ‘handbag’ atau pegang sampai jumpa tong sampah,” katanya pada Majlis Pelancaran “3R On Wheels” dan Kad Mesra hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu turut mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak melayan tuntutan menyediakan tong sampah tambahan.

“Setakat yang disediakan PBT di kawasan perumahan, tempat awam dah mencukupi.

“Jangan layan bila rakyat kata tak ada tong sampah nak buang sampah. Dia kena belajar sendiri cari tong sampah, bukan tong sampah cari dia.”

Zuraida turut menggesa orang ramai berani menegur individu yang membuang sampah merata-rata.

“Ini budaya baru kita mahu bawa. Kalau tak ada budaya berani tegur-menegur, negara ini tidak dibersihkan daripada sampah yang berselerak.

“Maka, kita tidak akan mencapai hajat untuk menjadikan Malaysia negara yang bersih.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.