
Jufri Zulkifli, 39, mengaku bersalah di depan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar, N Priscilla Hemamalini atas pertuduhan membuang puntung rokok ke longkang, bukannya dalam bekas diperuntukkan di sekitar Menara Alor Setar kira-kira 12.10 malam 1 Jan lalu.
Buruh binaan itu didakwa mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 dan boleh diperintah menjalani khidmat masyarakat maksimum 12 jam.
Pegawai Pendakwa SWCorp, Nur Idayu Syazwani Mohd Arif meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya tidak membuang sampah merata-rata.
Berita Harian melaporkan tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta hukuman lebih ringan kerana hanya bekerja sebagai buruh binaan dengan gaji RM80 sehari dan perlu menanggung tiga anak.
Mahkamah menjatuhkan denda RM300 dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, serta khidmat masyarakat enam jam dengan kadar maksimum satu jam sehari dalam tempoh dua bulan.
Tertuduh membayar denda itu dan akan menjalani perintah khidmat masyarakat dalam masa terdekat.