SKMM nafi terlibat dalam projek ‘akses internet terpantas’

SKMM nafi terlibat dalam projek ‘akses internet terpantas’

SKMM berkata mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan mana-mana pemegang lesen di bawah CMA dinasihatkan melaksanakannya dengan penilaian wajar sendiri.

SKMM berkata Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd adalah pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
PUTRAJAYA:
Projek Meningkatkan Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia (EM-IIG) yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd adalah sebuah usaha komersial yang tidak melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

SKMM, dalam kenyataan hari ini, berkata, syarikat telekomunikasi itu adalah pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).

“Lesen yang dikeluarkan di bawah CMA adalah tidak sama dengan pengesahan oleh SKMM,” kata suruhanjaya itu.

Ia berkata semua pemegang lesen di bawah CMA perlu mematuhi peruntukan akta tersebut, terma dan syarat lesen serta semua instrumen diterbitkan, dihasilkan atau diberikan mengikut akta berkenaan.

SKMM berkata mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan mana-mana pemegang lesen di bawah CMA dinasihatkan supaya melaksanakannya dengan penilaian wajar sendiri.

Selasa lalu, Pejabat Timbalan Perdana Menteri berkata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak pernah meluluskan teks ucapan yang disampaikan pada majlis pelancaran projek EM-IIG di Shah Alam dan juga tidak mewakilkan mana-mana pihak untuk membaca ucapan tersebut pada majlis tersebut.

PTPM itu berkata Wan Azizah tidak pernah menyebut kerajaan akan memberi kerjasama penuh bagi pelaksanaan projek EM-IIG tersebut.

Menurut laporan media, teks ucapan itu dibacakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Bagaimanapun, Rashid dilaporkan berkata beliau telah menghadiri acara itu atas kapasiti sebagai bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan turut dengan keras menafikan beliau mewakili Wan Azizah dalam majlis itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.