
Romli berkata beliau juga tidak tahu menahu Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon akan hadir ke majlis itu dan membaca ucapan untuk mewakili Wan Azizah.
“Teks ucapan memang kita tak luluskan semua. Timbalan perdana menteri tentunya akan maklumkan kepada penganjur untuk wakilkan kepada ‘si polan’ untuk membaca ucapan mewakili dia. Itu prosedur.
“Timbalan perdana menteri tidak pergi ke majlis itu dan tidak mewakilkan kepada sesiapa. Jadi tidak boleh guna teks ucapan untuk mewakilinya,” katanya kepada FMT.
Semalam, sebuah syarikat komunikasi yang terbabit dalam pembinaan saluran jalur lebar mempersoalkan kenyataan pejabat timbalan perdana menteri yang menafikan Wan Azizah menyampaikan ucapan pada majlis perasmian salah sebuah projeknya.
Pengerusi eksekutif Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd, Abdul Rashid Abdul Rahim, mendakwa pihaknya sudah pun mendapatkan kebenaran Romli untuk membolehkan Rashid membaca teks ucapan perasmian pagi semalam.
Ia susulan kenyataan dari pejabat timbalan perdana menteri berkata ia tidak pernah meluluskan ucapan itu atau mewakilkan sesiapa pun untuk membacakan teks tersebut.
Pejabat itu merujuk kepada ucapan yang dibacakan di pelancaran projek jalur lebar berkelajuan tinggi “Enhanced Malaysia International Internet Gateway” (EM-IIG) bernilai berbilion ringgit yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications.
Mengulas lanjut, Romli berkata, Wan Azizah juga tidak dapat hadir ke program itu setelah mendapat tahu projek itu tidak mendapat sokongan daripada kerajaan.
“Kita dapat tahu, projek dia buat tidak ada dalam senarai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Kita periksa dengan SKMM dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo tak sokong dan tidak pergi ke majlis itu,” katanya.
Sementara itu, dalam reaksi balas, pihak Xiddig, Abdul Rashid berkata melihat isu ini, beliau berpandangan ada masalah teknikal berhubung teks ucapan dari pihak penganjur.
Abdul Rashid berkata berkemungkinan akan berjumpa dengan Wan Azizah dan akan mengadakan sidang media dalam minggu ini bagi memberi penjelasan berhubung isu teks ucapan itu.
“Saya nampak mungkin timbalan perdana menteri tidak berkenan ada (pihak) yang baca teks ucapan bagi pihak beliau. InsyaAllah, saya akan jumpa Yang Berhormat (Wan Azizah),” katanya.