
Liew berkata kebergantungan kepada tenaga buruh asing tidak mahir menghalang penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan pembaharuan diperlukan untuk membolehkan golongan itu menceburi serta kekal dalam pekerjaan.
“Kita perlu ubah keadaan ini. Dengan ekonomi kita menuju ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi, kita memerlukan lebih ramai pekerja mahir dan tahap gaji yang lebih tinggi.
“Pasaran buruh yang ketat akan menggalakkan majikan untuk memberi lebih perhatian dan membolehkan wanita untuk terus kekal dalam tenaga kerja, bukan sahaja memasuki tenaga kerja, tetapi juga kekal sepanjang tahun,” katanya ketika berucap di Forum Ekonomi Wanita Asean 2025.
Katanya, Malaysia juga perlu berusaha melibatkan banyak wanita bagi mewujudkan persekitaran di mana mereka mempunyai peluang yang sama rata, dihargai dan boleh mengambil bahagian sepenuhnya dalam semua aspek kehidupan, termasuk di tempat kerja dan masyarakat.
Liew berkata kadar penyertaan tenaga buruh wanita ketika ini adalah rendah walaupun 65% pelajar universiti awam adalah wanita dan golongan itu juga mempunyai penyertaan agak tinggi dalam membuat keputusan ekonomi.
Forum anjuran Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCARE) dengan sokongan MITI dirasmikan isteri perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sementara itu, Wan Azizah dalam ucapannya berkata, forum tersebut mampu menonjolkan peranan wanita dalam memajukan teknologi, kemampanan, perdagangan, dan tadbir urus.
Beliau turut menggesa pemimpin, usahawan, dan pembuat dasar untuk bekerjasama dalam membina pertumbuhan inklusif melalui kepimpinan bersama dan kerjasama rentas sempadan.
Wan Azizah juga menegaskan walaupun negara mahu penglibatan wanita dalam menyumbang kepada bidang ekonomi, tugasan itu perlu seimbang dalam menguruskan keluarga.
Forum selama tiga itu menghimpunkan lebih 500 peserta termasuk pemimpin wanita, pembuat dasar, ahli akademik, selebriti, usahawan serta penggiat komuniti dari seluruh rantau Asean dan antarabangsa.
Berteraskan tema ‘Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the Asean Sheconomy’, forum itu memberi fokus kepada memperkukuh peranan wanita dalam membentuk masa depan ekonomi rantau yang lebih inklusif, lestari dan progresif.