
Wong berkata beliau bersedia 100% untuk menjawab segala pertanyaan daripada pihak lawan melibatkan isu rakyat kecuali hal politik.
“Persiapan saya 100% kecuali pertanyaan tentang politik, saya tak sedia sebab saya bukan seorang ahli politik, saya petani sahaja.
“Untuk debat malam esok, saya rasa sangat teruja nak tunggu sebab debat ini merupakan kali pertama dalam budaya Malaysia untuk PRK ini,” katanya ketika melawat pusat mengundi awal di Balai Polis Brinchang.
Wong berkata, debat yang akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Awani adalah platfrom terbaik untuk calon bebas menyampaikan idea sebelum diangkat sebagai ahli Parlimen.
“Ia satu platform yang baik terutamanya calon bebas dan calon parti di mana kami dapat berbahas dengan idea mereka setelah dipilih sebagai ahli Parlimen di sini dan bagi yang tak dapat dipilih saya seru semua calon dapat terus bantu pengundi Cameron Highlands,” katanya.
Terdahulu, 3 daripada 4 calon PRK Cameron Highlands, iaitu Wong, calon Pakatan Harapan, M Manogaran dan seorang lagi calon bebas, Sallehudin Ab Talib, menandatangani Ikrar Sokong Pilihan Raya Bersih dan Adil yang disediakan Bersih 2.0, serta bersetuju mengadakan debat.