Rodziah cabar Fadhlina debat masa depan Wanita PKR

Rodziah cabar Fadhlina debat masa depan Wanita PKR

Ahli Parlimen Ampang itu berkata forum boleh diadakan jika Nurul Izzah Anwar mahu sertai debat itu.

Rodziah Ismail Fadhlina Sidek
Rodziah Ismail mencabar Fadhlina Sidek untuk jawatan ketua Wanita PKR sekali gus mengulangi pertemuan mereka pada pemilihan 2022.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Rodziah Ismail mencabar Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek untuk berdebat mengenai hala tuju dan masa depan sayap parti itu.

Rodziah yang mencabar Fadhlina untuk jawatan tersebut berkata, beliau mengikut jejak langkah Rafizi Ramli, yang dua hari lalu mencabar Nurul Izzah Anwar untuk berdebat.

Rafizi dan Nurul Izzah bertanding untuk merebut jawatan timbalan presiden PKR.

“Hari ini saya juga ingin menjemput ketua Wanita PKR (Fadhlina) untuk berdebat mengenai masa depan Wanita PKR. Kita akan tengok apakah hala tuju dan masa depan yang kita nak bawa untuk Wanita PKR.

“Bagaimana cara nak naikkan daripada empat Ahli Parlimen wanita dan kita nobatkan ahli Wanita PKR untuk menang lebih banyak kerusi,” katanya dalam satu acara kempen di Kota Bharu, Kelantan.

Rodziah berkata walaupun beliau bukannya seorang pendebat yang baik tetapi beliau sanggup mengambil peluang itu supaya boleh berkongsi perancangannya untuk Wanita PKR.

Beliau juga mempelawa Nurul Izzah Anwar untuk bersama-sama menyertai debat itu.

“Kalau Nurul Izzah nak sertai sekali, tiada masalah, kita boleh adakan forum,” katanya.

Pada pemilihan parti pada 2022, Rodziah tewas dalam saingan ketua Wanita PKR kepada Fadhlina dengan 32 undi. Fadhlina menerima 18,923 undi, manakala Rodziah mendapat 18,891.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.