
Fadhlina berkata debat bukanlah menjadi keutamaan ketika ini kerana tumpuan beliau adalah mahu mengukuhkan parti dan memberi sokongan penuh kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, lapor Sinar Harian.
“Jawapan saya sama dengan Nurul Izzah, tidak ada keperluan. Sekarang ini fokus kami adalah untuk memperkukuhkan parti.
“Semua seruan-seruan itu yang kita telah pun bawa bersama adalah untuk terus memperkukuhkan parti dan memberikan sokongan penuh kepada presiden parti kita,” katanya dalam sidang media selepas siri kempen di Seremban malam tadi.
Pada Jumaat lalu, Rodziah yang sekali lagi mencabar Fadhlina untuk jawatan ketua wanita mempelawa menteri pendidikan itu untuk berdebat mengenai hala tuju dan masa depan sayap itu.
Rodziah berkata beliau mengikut jejak langkah Rafizi Ramli, yang dua hari lalu mencabar Nurul Izzah Anwar untuk berdebat.
Rafizi dan Nurul Izzah bertanding untuk merebut jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Nurul Izzah sebelum ini juga menolak cabaran debat Rafizi kerana mahu memberi perhatian pada usaha mengurangkan ketegangan dalam parti dan mengadakan libat urus dengan perwakilan.
Mengulas mengenai cabaran itu, Fadhlina berkata debat adalah satu perkara yang baik sekiranya diterjemahkan dalam konteks membahaskan isu-isu dasar.
“Tapi dalam keadaan sekarang kita nak bagi tumpuan dalam konteks lebih utama dari segi kesatuan, kekuatan dan mengukuhkan kembali parti ini,” katanya.
Pada pemilihan parti pada 2022, Rodziah tewas dalam saingan ketua Wanita PKR kepada Fadhlina dengan 32 undi. Fadhlina menerima 18,923 undi, manakala Rodziah mendapat 18,891.