
Semalam, Akmal membidas tindakan membakar karikatur Anwar dalam himpunan antirasuah di Kota Kinabalu, sambil turut melabelkannya sebagai perbuatan ‘kurang ajar’.
Beliau juga menyatakan jemputan untuk bertemu pelajar terbabit yang tidak berpuas hati dengan kenyataan dibuatnya.
Dalam maklum balas, aktivis pelajar, Fakrurrazzi Khairur Rijal, menerima cabaran Akmal dan bersetuju diadakan satu pertemuan debat terbuka pada 9 malam, 1 Julai ini.
“Maruah mahasiswa dan kebebasan ruang bersuara mesti dipertahankan. Kami tidak gentar untuk menyuarakan kebenaran,” kata koordinator Federasi Pemuda Kebangsaan dalam kenyataan.
NGO belia, Mandiri dan kumpulan pelajar, Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia akan membantu dalam koordinasi debat itu, dengan lokasi penganjuran akan diumumkan kemudian di saluran rasmi media sosial masing-masing.
Fakrurrazzi juga berkata, jemputan berdebat masih terbuka kepada Ketua Pemuda PKR Kamil Munim, untuk bersama Akmal, pada tarikh sama.
Katanya, beliau mewakili suara anak muda dan mahasiswa Malaysia yang cintakan kebebasan bersuara dan hak untuk tidak bersetuju.
Kamil, yang juga setiausaha politik Anwar di Kementerian Kewangan, sebelum ini mengkritik bantahan pelajar di Sabah yang membakar karikatur Anwar sebagai ‘keterlaluan dan biadab’.
Himpunan Gempur Rasuah 2.0 dianjurkan beberapa pelajar Universiti Malaysia Sabah, berakhir dengan tindakan membakar karikatur Anwar.
Lebih 100 peserta hadir dalam bantahan itu dengan mendesak tindakan dibuat ke atas skandal Jabatan Air Sabah.
Polis menyiasat pembakaran karikatur itu bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.