SPR beri amaran salah guna aset kerajaan, main sensitiviti kaum

SPR beri amaran salah guna aset kerajaan, main sensitiviti kaum

Pengerusi SPR berkata, parti politik juga dilarang menjamu makan, memberi hadiah, mengadakan program kerajaan, menggunakan kemudahan dan aset kerajaan untuk meraih undi.

Azhar Azizan Harun berkata, tindakan tegas boleh diambil di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atau akta berkaitan terhadap pihak bertanding yang melanggar undang-undang dan etika kempen pilihan raya. (Gambar Bernama)
TANAH RATA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang serius laporan yang mendakwa pihak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata pelanggaran itu termasuk penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti bangsa serta agama dalam kempen masing-masing.

Katanya, sepanjang tempoh berkempen, aktiviti seperti menjamu makan, pemberian hadiah dan barangan, mengadakan program kerajaan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan untuk meraih undi tidak boleh dilaksanakan.

“Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atau undang-undang lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pihak yang kempen berunsurkan perkauman dan menyentuh sensitiviti agama merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4A dan Seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Azhar berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan segera dengan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim selaku pemerhati pilihan raya dilantik SPR bagi mengemukakan maklumat berhubung isu penggunaan kenderaan kerajaan semasa berkempen.

“Ini bagi mengemukakan maklumat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perkara tersebut untuk tindakan selanjutnya.”

Beliau turut menyeru semua calon dan parti politik bertanding mematuhi Aku Janji Calon Semasa Tempoh Berkempen dan Hari Mengundi dalam setiap aktiviti berkempen yang dilakukan.

“SPR juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas keprihatinan dan kerjasama dalam memantau perjalanan pilihan raya ini.

“Kesedaran ini menunjukkan Malaysia dan rakyatnya sentiasa mahukan proses penjalanan pilihan raya yang telus dan adil kepada semua pihak.”

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertembungan 4 antara calon Pakatan Harapan, M Manogaran, Ramli Mohd Nor (Barisan Nasional) dan 2 calon bebas, iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.

Esok merupakan hari pengundian awal PRK itu, manakala 26 Januari ini ditetapkan sebagai tarikh mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.