Lebih 100 pelajar SMK Desa Kencana belajar di kantin

Lebih 100 pelajar SMK Desa Kencana belajar di kantin

Ia susulan 1 blok bangunan yang menempatkan 4 kelas pelajar tingkatan 1 hingga 4 itu berdepan masalah cerun tanah runtuh.

Terdapat 1,700 pelajar tingkatan 1 hingga 5 dengan 124 guru di sekolah SMK Desa Kencana. (Gambar Facebook)
LAHAD DATU:
Empat kelas dengan 117 pelajar tingkatan 1 hingga 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana di Wilayah Felda Sahabat terpaksa belajar di kantin sekolah selepas 1 blok bangunan yang menempatkan kelas pelajar terbabit berdepan masalah cerun tanah runtuh.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut, Datu Ibrahim Datu Abdul Karim berkata bimbang dengan keselamatan pelajar serta guru yang mengajar, blok bangunan itu dikosongkan sejak sesi persekolahan bermula awal tahun ini.

“Difahamkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Lahad Datu membuat pemeriksaan awalan Selasa lepas dan mendapati cerun di belakang bangunan sekolah runtuh.

“Pihak JKR juga turut meminta bangunan yang berdekatan bahagian cerun yang runtuh itu untuk dikosongkan dan ditutup terus kepada warga sekolah sehingga kerja pembaikan cerun siap dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Masalah cerun runtuh itu dipercayai berlaku selepas hujan berterusan sejak awal tahun itu, turut menjejaskan pembelajaran 17 murid pendidikan khas apabila blok bangunan itu juga menempatkan kelas mereka serta bilik guru Etika Rumah Tangga (ERT).

Sehubungan itu, Datu Ibrahim meminta agar pihak berwajib dapat mengatasi masalah tersebut dengan kadar segera supaya pelajar yang terjejas dapat meneruskan sesi pembelajaran di bilik darjah yang selesa.

“Setakat ini pengurusan Felda Wilayah Sahabat mengambil langkah awal menyediakan sejumlah peruntukan kilat bagi melakukan kerja membaik pulih kawasan yang terjejas.

“Jadi kita berharap pelaksanaan baik pulih ini berjalan dengan lancar dan cepat,” katanya lagi.

Tinjauan Bernama mendapati parit di bahagian belakang bangunan turut “ternaik” sehingga 1.5m daripada kedudukan asal.

Sekolah 2 sesi ini menempatkan 1,700 pelajar tingkatan 1 hingga 5 dengan 124 guru dan terdapat 29 bilik darjah melibatkan 59 sesi kelas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.