Operator makanan MRSM wajib guna bahan mentah Bumiputera, halal

Operator makanan MRSM wajib guna bahan mentah Bumiputera, halal

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata dasar itu akan berkuat kuasa sesi persekolahan tahun depan selepas kontrak baharu ditandatangani September lalu.

Asyraf Wajdi Dusuki melakukan tinjauan di MRSM Alor Gajah, Melaka, dan meluangkan masa memeriksa kualiti makanan di dewan makan serta hidangan disediakan kepada pelajar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majlis Amanah Rakyat (Mara) menetapkan semua operator makanan di institusi pendidikannya termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) wajib menggunakan bahan mentah daripada pengeluar Bumiputera yang mempunyai sijil halal sahaja.

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dasar itu akan berkuat kuasa sesi persekolahan tahun depan, selepas kontrak baharu ditandatangani pada September lalu.

“Dasar baharu yang saya perkenalkan semua kontraktor makanan mesti guna atau mengambil barangan dan bahan mentah daripada pengeluar bumiputera dan ada sijil halal yang sah sahaja.

“Dasar ini bermula kontrak baru yang ditandatangani September 2024,” katanya di Facebook.

Sebelum itu, beliau melakukan tinjauan mengejut di MRSM Alor Gajah, Melaka dan sempat meluangkan masa memeriksa kualiti makanan di dewan makan dan hidangan disediakan kepada pelajar.

Pemeriksaan mengejut secara berkala giat dijalankan pemimpin Umno itu selepas berlaku beberapa siri keracunan makanan melibatkan institusi pendidikan MRSM sebelum ini.

Baru-baru ini, Mara menamatkan kontrak operator dewan makan MRSM Taiping, kerana gagal mematuhi menu disediakan, selain keadaan premis yang kotor dan busuk.

Ia susulan laporan ibu bapa mengenai anak mereka yang keracunan akibat makanan disediakan di dewan makan itu.

Insiden keracunan makanan dilaporkan berulang walaupun dewan selera itu pernah diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Perak susulan kejadian keracunan membabitkan 62 pelajar pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.