
Katanya, penting untuk membina persekitaran dan ekosistem saling memahami dan menghormati dalam kalangan pelajar.
“KPM ada dalam pekeliling yang mana kita telah ingatkan bahawa kantin sekolah harus beroperasi sepanjang masa sekolah beroperasi.
“Saya tak mahu ada optik anak bukan Islam, anak-anak lain yang tak berpuasa ini makan dalam stor, makan tempat tak wajar sedangkan ada kantin,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Salamiah Nor (PN-Temerloh) berhubung arahan kementerian supaya kantin sekolah beroperasi ketika Ramadan.
Fadhlina berkata, pelajar Muslim akan diuruskan guru masing-masing ketika rehat.
“Saya tekankan kepentingan memastikan pelajar bukan Muslim memahami amalan rakan Muslim mereka ketika berpuasa dan bagi mereka menghormati satu sama lain,” katanya.
Isnin lalu, Fadhlina umum kantin sekolah akan terus beroperasi ketika bulan puasa, sambil menyifatkan ia sebahagian prosedur operasi standard sekolah.
Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Ahmad Yahaya mengkritik langkah itu sebagai “agak keterlaluan” dan menjadi kebiasaan masyarakat menghormati umat Islam sedang berpuasa termasuk murid yang masih berlatih untuk berpuasa.