Proton panggil balik lebih 6,400 kereta Perdana

Proton panggil balik lebih 6,400 kereta Perdana

Proton berkata, langkah itu bertujuan menggantikan inflator beg udara penumpang.

Langkah memanggil balik itu membabitkan Proton Perdana yang dibina dari 2012 hingga akhir Ogos lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Proton Holdings Bhd hari ini memanggil balik semua Proton Perdana generasi semasa, yang melibatkan 6,432 kenderaan.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, langkah memanggil balik itu untuk menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan model Proton Perdana berasaskan Honda Accord, dan kereta yang terlibat dibina dari 2012 hingga akhir Ogos lalu.

Honda Motor Company baru-baru ini mengumumkan panggilan balik Honda Accord untuk menggantikan inflator beg udara penumpang.

Pembuat kereta itu berkata, notis mengenainya akan dihantar kepada pemilik terlibat.

“Semua pemilik Proton Perdana akan dimaklumkan dan dinasihatkan menghubungi pusat servis kami untuk membuat janji temu bagi menggantikan inflator beg udara kereta masing-masing.

“Kereta yang dibina selepas 31 Ogos 2018 tidak terjejas. Penggantian inflator akan mengambil masa kira-kira sejam tanpa bayaran,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed.

Pelanggan dinasihatkan menghubungi talian khidmat perhubungan pelanggan 1-800-888-398 atau e-mel [email protected] untuk pertanyaan dan bantuan.

Khidmat penggantian itu sebahagian daripada inisiatif global untuk kereta menggunakan beg udara Takata.

Semua tindakan mengikut Laporan Maklumat Kerosakan yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Keselamatan Lebuh Raya Nasional Amerika yang memutuskan inflator beg udara penumpang itu diganti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.