Guatemala arah duta pulang dari Bogota, hubungan dengan Colombia makin keruh

Guatemala arah duta pulang dari Bogota, hubungan dengan Colombia makin keruh

Kerajaan Colombia sebelum ini memanggil pulang dutanya dari negara itu susulan tuduhan terhadap menteri pertahanannya, Ivan Velasquez.

Presiden Colombia Gustavo Petro sebelum ini memanggil pulang dutanya dari Guatemala sebagai tindak balas susulan tuduhan dikenakan terhadap seorang Jemaah Menteri kerajaannya. (Gambar AP)
BOGOTA:
Krisis diplomatik antara Colombia dan Guatemala semakin meruncing selepas negara Amerika Tengah itu memanggil semula dutanya ke Bogota pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian Luar mengumumkan keputusan memanggil semula Reagan Vega Santizo sebagai tindak balas kepada tindakan Presiden Colombia Gustavo Petro, yang mengarahkan dutanya ke Guatemala untuk kembali selepas Pejabat Pendakwa Guatemala menuduh Menteri Pertahanan Colombia Ivan Velasquez melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

“Kementerian Luar Guatemala kesal kerana kerajaan Colombia menjadikan isu undang-undang kepada isu politik, melakukan tindakan mengejut tanpa mengambil kira langkah diplomatik yang sesuai.

“Dalam hal ini, kami telah memutuskan untuk memanggil semula Duta Guatemala ke Colombia,” menurut kementerian itu dalam kenyataan.

Ketua Pejabat Pendakwa Raya Khas Guatemala Menentang Impunity, Rafael Curruchiche mengumumkan bahawa pihaknya akan memfailkan tuduhan terhadap Velasquez atas dakwaan melakukan tindakan menyalahi undang-undang ketika beliau berkhidmat sebagai ketua kumpulan penyiasat anti-rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di Guatemala.

Valasquez dilantik pada 2013 bagi mengetuai Suruhanjaya Antarabangsa menentang Impunity di Guatemala (CICG) sehingga tiga bekas presiden diheret ke mahkamah dan mendakwa lebih 1,500 orang kerana rasuah, termasuk pegawai kerajaan, hakim dan ahli perniagaan.

Velasquez terpaksa meninggalkan Guatemala berikutan ketegangan dengan Presiden Jimmy Morales yang menamatkan tempoh perkhidmatan suruhanjaya itu selepas 12 tahun.

Curruchiche berkata, negara itu akan membuat Velasquez “bertanggungjawab atas perbuatannya yang menyalahi undang-undang” sebagai ketua CICG dalam kes rasuah berkaitan syarikat pembinaan Brazil Odebrecht.

Curruchiche dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat pada 2021 kerana menghalang siasatan terhadap perbuatan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.