India tuntut Kanada panggil balik 40 diplomat

India tuntut Kanada panggil balik 40 diplomat

Menurut laporan New Delhi ancam batal kekebalan diplomatik diplomat Kanada yang kekal selepas 10 Okt.

Ketegangan berlaku antara Kanada dan India susulan pembunuhan pemimpin pemisah terkemuka Sikh, Hardeep Singh Nijjar pada Jun lalu. (Gambar AP)
MOSCOW:
India menuntut Kanada menghantar pulang kira-kira 40 diplomatnya menjelang 10 Okt berikutan dakwaan Ottawa bahawa New Delhi mungkin ada kaitan dengan pembunuhan seorang aktivis kemerdekaan Sikh di Kanada, kata Sputnik memetik laporan Financial Times.

Satu daripada sumber memberitahu media, bahawa Kanada mempunyai 62 diplomat di India, sambil menambah New Delhi telah memaklumkan Ottawa untuk mengurangkan jumlah itu sebanyak 41 orang.

Sumber lain berkata, New Delhi telah mengancam membatalkan kekebalan diplomatik diplomat Kanada yang kekal selepas tarikh itu, kata laporan itu.

India dilaporkan berkata ia mahukan “kesamaan” dalam jumlah dan gred diplomat yang ditempatkan di setiap negara.

Perdana Menteri Justin Trudeau berkata, pada September Kanada sedang meneliti “dakwaan yang boleh dipercayai” yang berpotensi mengaitkan pegawai India dengan pembunuhan Hardeep Singh Nijjar pada 18 Jun oleh dua lelaki bersenjata bertopeng di Surrey, British Columbia.

Pemimpin pemisah terkemuka itu berkempen mewujudkan sebuah negara Sikh merdeka di India, dinamakan Khalistan.

Susulan insiden itu, Kanada mengusir seorang diplomat India berpangkat tinggi yang didakwa ada kaitan dengan perisik asing India.

Sebagai tindak balas kepada tindakan Ottawa, pihak berkuasa India mengumumkan keputusan mereka untuk mengusir seorang diplomat kanan Kanada dan memintanya meninggalkan negara itu dalam tempoh lima hari.

Kementerian Luar India kemudiannya menggesa rakyatnya yang merancang untuk melawat atau sedang berada di Kanada supaya lebih berhati-hati memandangkan “aktiviti anti-India yang semakin meningkat”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.