NGO ugut anjur himpunan jika peguam negara tak dedah laporan kes Adib

NGO ugut anjur himpunan jika peguam negara tak dedah laporan kes Adib

Gerakan Pembela Ummah membuat laporan polis terhadap Tommy Thomas yang didakwa lewat dalam mendedahkan laporan siasatan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Gerakan Pembela Ummah menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Tommy Thomas di IPD Dang Wangi hari ini.
KUALA LUMPUR:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengugut akan mengadakan himpunan besar-besaran, jika Peguam Negara, Tommy Thomas tidak segera mendedahkan laporan siasatan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, akhir November lalu.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya berkata laporan itu sepatutnya diumumkan kerana polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat timbalan pendakwa raya, minggu lalu.

“Kita tidak teragak-agak akan membuat gerakan sebagaimana kita bantah ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum), begitu juga kita akan buat gerakan pertahankan keadilan dalam konteks kes Adib ini.

“Adib hanyalah simbol, tetapi yang lebih kritikal adalah keadilan kepada keluarga mereka dan undang-undang negara kerana kalau boleh berlaku kepada Adib, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi hari ini.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata, siasatan kes kematian Adib sudah selesai dan kertas siasatan dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Adib meninggal dunia 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara pada 17 Disember lalu, akibat cedera parah selepas diserang perusuh di luar Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.

Hari ini, Aminuddin mempersoalkan kenapa mahkamah membenarkan suspek diikat jamin dan menggesa tiada campur tangan politik dalam kes itu bagi mengelakkan ia diganggu gugat mana-mana pihak.

Katanya, peguam negara juga tidak patut mengarahkan inkues diadakan kerana punca kematian Adib dan suspek kes itu sudah dikenal pasti.

“Jadi, kita minta kerajaan mengambil tindakan segera, terutamanya pada Tommy Thomas supaya tidak melakukan apa-apa penangguhan atau apa yang dikhabar anginkan mungkin berlaku ubah suai atau cubaan melindungi dalam laporan kes ini.”

Pada 27 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, majistret akan diarah melakukan satu inkues bagi menentukan punca kematian Adib.

Katanya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Tommy kepadanya melalui perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.