
“Kebanyakan ahli MDCH dibawa ke perhatian saya bukan dari sini. Mereka dari daerah lain. Saya percaya ini adalah sebab kroni pihak tertentu telah bawa pegawai ini untuk menjadi ahli majlis, yang tidak tahu sentimen dan keperluan rakyat tempatan.
“Ia perlu diubah, peluang perlu diberi kepada anak tempatan yang lebih tahu masalah rakyat,” katanya selepas menghadiri pesta Ponggal di Tanah Rata, hari ini.
Manogaran yang juga timbalan pengerusi DAP Pahang, kecewa dengan MDCH yang didakwa tidak menghormati Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong daripada DAP kerana tidak mengadakan rundingan dengannya untuk menyelesaikan isu berbangkit.
Beliau turut mendakwa MDCH gagal menyelesaikan banyak isu dan tidak mesra rakyat, termasuk tidak menangani aduan rakyat mengenai kadar bayaran mahal bagi meletak kenderaan.
“Setiap hari, 7 hari seminggu kena bayar. Ahad kena bayar juga, berbeza dengan Kuala Lumpur, penduduk tidak perlu bayar (pada Ahad). Jadi, ini tidak adil kepada penduduk di sini,” dakwanya sambil menambah MDCH mengenakan bayaran setinggi RM80 sebulan bagi caj letak kenderaan.
Manogaran berkata, alasan MDCH tidak dapat menurunkan kadar bayaran parkir kerana tertakluk di bawah Akta Pengangkutan yang tidak boleh dipinda, juga tidak munasabah.
Beliau turut mendesak kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah Daerah menjelaskan kenapa pembaharuan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) lambat diluluskan.