
Pemilik pasar raya besar Mydin itu berkata, bekalan ayam untuk kedainya berkurang 50% kerana pembekal beliau juga berhadapan kekurangan bekalan.
“Ayam habis dijual di pasar raya kami menjelang tengah hari,” katanya kepada FMT.
“Kekurangan ini mungkin menyumbang kepada kenaikan harga RM3 hanya dalam sebulan, daripada RM6 sekilo kepada RM9 sekilo.”
Ameer turut merujuk laporan harga ayam naik secara mendadak daripada RM7.70 kepada RM10 sekilo di Johor Bahru.
Baru-baru ini, sebuah akhbar memetik seorang penjual sebagai berkata, kebanyakan ayam dieksport ke Vietnam yang mengalami kekurangan akibat penularan wabak selesema burung H5N1.
Peniaga itu juga dilaporkan berkata, harga ayam dari ladang juga meningkat berikutan harga makan lebih tinggi dan nilai mata wang ringgit yang lebih rendah.
Ameer berkata, keadaan di Timur Malaysia juga teruk, di mana harga ayam mengalami kenaikan.
“Tetapi, kerajaan membenarkan pengeksportan yang menyebabkan bekalan berkurangan, rakyat menderita. Walaupun berdepan kekurangan bekalan, Malaysia masih mengeksport ayam ke Vietnam.”
Ameer mengulangi gesaan supaya kerajaan membatalkan permit perdagangan ayam.
“Kenapa ia tidak melakukan apa-apa untuk menangani isu ini?” soalnya.
Beliau berkata, kementerian berkaitan tidak belajar daripada kenaikan harga telur baru-baru ini.
Bulan lalu, Ameer menggesa kerajaan menghentikan pengeksportan telur ke Singapura.
Putrajaya kemudiannya berkata, ia sedang mengkaji larangan sementara ke atas pengeksportan telur.
Ameer berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengeluarkan sijil halal, perlu menangani kekurangan bekalan ayam dengan memperakui lebih banyak pasaran asing yang halal.
Beliau juga berharap kerajaan memeriksa kemungkinan berlakunya pakatan harga dalam kalangan pembekal ayam kerana ia melanggar undang-undang anti-persaingan dan anti-pencatutan.
FMT cuba menghubungi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) untuk mendapatkan komen, tetapi gagal.
FMT masih menunggu maklum balas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.