Calon BN janji berkempen secara bersih

Calon BN janji berkempen secara bersih

Ramli Mohd Nor mempersoalkan PH jika mereka mampu mengotakan janji untuk berkempen secara bersih dalam PRK Cameron Highlands.

Ramli Mohd Nor (tengah) berkata, tiada keperluan menyahut cabaran debat terbuka dengan calon lain anjuran Bersih 2.0.
CAMERON HIGHLANDS:
Walaupun tidak menandatangani Ikrar Sokong Pilihan Raya Bersih dan Adil disediakan Bersih 2.0, calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor berjanji akan berkempen secara bersih dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Bekas pegawai kanan polis itu turut mempersoalkan Pakatan Harapan (PH) jika mereka mampu mengotakan janji untuk berkempen secara bersih.

“Kamu beritahu saya, lawan saya – PH, mereka bersih ke?

“Saya boleh jamin saya bersih,” katanya selepas ceramah di Kampung Mensun di Cameron Highlands hari ini.

Terdahulu, 3 daripada 4 calon PRK Cameron Highlands, iaitu M Manogaran (calon PH) bersama 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee, menandatangani Ikrar Sokong Pilihan Raya Bersih dan Adil yang disediakan Bersih 2.0, serta bersetuju mengadakan debat terbuka.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann dilaporkan berkata, Ramli sedia maklum dan tidak membantah ikrar itu, tetapi beliau tidak dapat hadir kerana terikat dengan jadual aktiviti padat.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan perdebatan terbuka dengan calon lain anjuran Bersih, Ramli berkata, tiada keperluan menyahut cabaran itu.

“Apa yang mahu didebatkan? Mereka mengugut tidak bayar gaji orang saya. Kenapa saya perlu debat?” katanya merujuk amaran senator PKR, Bob Manolan Mohamad untuk memecat ketua kampung Orang Asli di Cameron Highlands yang tidak menyokong PH.

Beliau berharap dapat memenangi PRK pada 26 Januari ini dan menjadi Orang Asli pertama di Parlimen.

Sementara itu, penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan berkata, jika benar Manolan mengugut Tok Batin di Cameron Highlands, ia adalah satu kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.