Tak perlu ‘Mara Orang Asli’, cukup ubah tadbir urus Jakoa, kata pemimpin

Tak perlu ‘Mara Orang Asli’, cukup ubah tadbir urus Jakoa, kata pemimpin

Presiden Asli Rashid Ka’ berkata, sistem pengurusan Jakoa ketika ini lemah sehingga gagal membawa transformasi.

orang asli
Jakoa wajar diurus sendiri oleh Orang Asli, yang memahami masalah dialami masyarakatnya, kata Presiden Asli Rashid Ka’.
PETALING JAYA:
Tiada keperluan satu badan korporat berkanun seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) ditubuhkan untuk menjaga hak dan kebajikan Orang Asli menggantikan peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), menurut seorang pemimpin Orang Asli.

Presiden Parti Orang Asli Malaysia (Asli) Rashid Ka’ berkata, kewujudan Jakoa sudah memadai untuk memajukan Orang Asli namun sistem pengurusannya perlu dirombak.

Beliau berkata, sistem pengurusan Jakoa ketika ini lemah sehingga gagal membawa transformasi bagi masyarakat itu, termasuk membantu keluar daripada kemiskinan.

“Peranan Jakoa perlu ditambah baik sahaja tanpa perlu menubuhkan entiti baharu. Jika tubuh entiti baharu, (tetapi) sistem pentadbirannya tak betul, Orang Asli kekal dalam kemiskinan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Jakoa diurus sendiri oleh Orang Asli sepenuhnya, serta bebas daripada campur tangan politik.

Langkah itu, katanya, mampu membawa impak maksimum kepada pembangunan masyarakat itu.

“Kerajaan perlu bersungguh membasmi kemiskinan Orang Asli, beri peluang kepada Orang Asli sendiri mentadbir Jakoa sepenuhnya dan bebas daripada campur tangan atau ‘dikudakan’ oleh tokoh politik tertentu,” katanya.

Tambahnya, apabila Jakoa diurus sendiri oleh Orang Asli, yang memahami masalah dialami masyarakatnya, suara komuniti itu boleh didengar secara langsung.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor mencadangkan badan korporat berkanun seperti Mara ditubuhkan untuk menjaga hak dan kebajikan Orang Asli, sekali gus membawa masyarakat itu keluar daripada kemiskinan.

Beliau mencadangkan sedemikian kerana menurutnya, Jakoa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal komuniti itu ‘kurang berkesan’ bagi tujuan itu.

Ramli, satu-satunya wakil rakyat Orang Asli, juga mahu Jakoa dirombak dan tugas dan peranannya dalam membebaskan masyarakat itu daripada belenggu kemiskinan dikaji semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.