
Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang juga pengkaji institusi monarki, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain berkata biarpun kekananan seorang raja ditentukan berdasarkan tarikh baginda menaiki takhta di negeri masing-masing, namun tidak mustahil Tengku Abdullah dipilih Majlis Raja-raja sebagai Agong baru.
Mesyuarat khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Agong ke-16 dan timbalannya akan diadakan 24 Januari ini di Istana Negara.
Bercakap kepada Bernama, Nazrul berkata, ia berdasarkan kecenderungan majlis itu mengikut konvensyen penggiliran senarai 9 negeri beraja dan bukannya kekananan takhta dalam pemilihan Agong setelah pusingan pertama sistem itu berakhir pada 1994.
Turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak berdasarkan kekananan takhta dan Majlis Raja-raja dilihat cenderung mengekalkan turutan itu dalam pusingan ke-2 sistem penggiliran yang bermula dengan pemilihan Almarhum Tuanku Jaafar dari Negeri Sembilan pada 1994.
Ia diikuti Almarhum Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah dari Selangor pada 1999, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dari Perlis pada 2001, Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu pada 2006, Almarhum Sultan Abdul Halim dari Kedah pada 2011 dan Sultan Muhammad V dari Kelantan pada 2016.
“Berdasarkan konvensyen turutan penggiliran sedia ada, Tengku Abdullah boleh dipertimbangkan Majlis Raja-raja untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong walaupun baginda baru diisytiharkan menaiki takhta sebagai Sultan Pahang ke-6.
“Hal ini pernah berlaku semasa pemilihan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 13 Disember 2001, walaupun baginda baru naik takhta kerajaan Perlis pada 17 April 2000.”
Menyentuh ketokohan Tengku Abdullah, Nazrul berkata, baginda merupakan waris ganti raja pemerintah yang paling “senior” di Malaysia kerana menjadi tengku mahkota selama 44 tahun sejak 1975, ketika berusia 16 tahun.
“Pengalaman inilah yang membentuk sahsiah peribadi Tengku Abdullah dan dilihat seorang pewaris amat berwibawa. Baginda banyak mewarisi sifat ayahanda baginda yang rendah diri, prihatin dan dekat dengan rakyat.
“Ini dapat disaksikan sendiri oleh rakyat apabila berlaku musibah terutamanya banjir, baginda adalah antara orang terawal turun padang mencemar duli bertanya khabar dan menghulur bantuan kepada mangsa menyebabkan rakyat Pahang amat menyayangi baginda.”
Tengku Abdullah, 60, juga merupakan simbol perpaduan rakyat Pahang dan ini dapat dilihat dalam titah baginda ketika merasmikan majlis mahupun menghadiri program bersama rakyat, baginda sering menekankan soal perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum negara ini.
“Dalam keadaan Malaysia Baru ini, isu perpaduan antara cabaran yang perlu dihadapi dan dengan ketokohan pada Tengku Abdullah ini, sekiranya baginda ditabalkan Yang di-Pertuan Agong baru, baginda mampu menjadi ikon semangat muhibah di negara ini.
“Ibarat mutiara mahkota yang bersinar, saya percaya Tengku Abdullah mampu meneruskan legasi Sultan Ahmad Shah menjadi pemimpin berwibawa dan dekat dengan rakyat, sesuai ungkapan yang menjadi pegangan keluarga diraja ini ‘raja dan rakyat berpisah tiada.”