Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah sasar bantu bekas banduan kembali dalam masyarakat

Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah sasar bantu bekas banduan kembali dalam masyarakat

Inisiatif baharu di Pahang menyasarkan mengubah stigma menjadi peluang, dengan memberi peluang bekas tahanan memulakan kehidupan baharu.

breaking
(Dari kiri) Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah; dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika majlis pecah tanah. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)
PEKAN:
Bagi ramai bekas banduan, cabaran terbesar dihadapi bukanlah ketika terhimpit sebalik tirai besi penjara, sebaliknya selepas dibebaskan, ketika cuba kembali menyertai masyarakat.

Mereka kerap dibelenggu stigma, dengan golongan majikan teragak-agak untuk mengambil seseorang yang mempunyai rekod jenayah sebagai pekerja, selain masyarakat juga keberatan menerima mereka semula.

Bagaimanapun, Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah menyasarkan untuk memberi peluang kedua dalam kehidupan bagi golongan yang pernah menjadi tahanan ini.

Inisiatif yang dirancang ini akan memaparkan kedai, bengkel, kebun malah lebih banyak lagi, berwawasan sebagai tempat yang dapat membantu bekas banduan dengan peluang pekerjaan, menggunakan kemahiran yang diperolehi ketika dalam penjara.

Ruang ini dinamakan sempena Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dan dipelopori permaisuri baginda, Tengku Ampuan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dengan kedua-duanya hadir mencemar duli di acara pecah tanah lokasi berkenaan, Khamis lalu.

“Saya harap projek ini, ihsan ini yang mana telah kita sama-sama dengar hasrat Tengku Ampuan sama saya untuk membantu mereka yang telah mengharungi kehidupan yang tak sempurna dan sudahpun dipilih oleh pihak penjara.

“Kita ucap syabas kepada pihak penjara kerana telah beri tumpuan kepada mereka untuk kembali semua untuk mendapatkan nafas kedua ataupun kehidupan yang kedua.”

sultan
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berucap ketika majlis pecah tanah, semalam. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Baginda berkata inisiatif itu sedikit sebanyak memberikan jaminan kepada banduan untuk peluang meneruskan kehidupan apabila keluar dari tahanan, selain turut menyuntik semangat untuk penduduk Pekan juga bangkit dan berdikari.

Sementara itu, Tunku Azizah berkata idea untuk projek itu diutarakan kira-kira enam tahun lalu dengan diinspirasikan kejayaan program Tenun Pahang Diraja yang mengajar banduan di dalam penjara teknik tenunan tradisional.

Menurutnya, apa yang bermula dengan hanya dua banduan penenun kini menjadi program dengan lebih 400 peserta, malah semakin berkembang.

“… Begitu ramai ahli banduan yang menenun di dalam penjara dan apabila mereka keluar setelah mempelajari ‘skill’… yang dipelajari dalam penjara… Kami semua berbincang apabila mereka keluar, adalah sayang mereka keluar begitu saja tidak menyambung apa yang mereka telah mempelajari di dalam penjara.

“Dengan sebab itulah tercetusnya idea untuk membina satu perkampungan di bawah nama ke bawah duli,” kata Tunku Azizah yang juga penaung diraja bagi program pemulihan dan korektif penjara.

explanation
Tunku Azizah menjelaskan beberapa ciri Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Tunku Azizah turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pahang kerana mengurniakan 10 ekar tanah untuk projek itu kepada baginda serta Yayasan Tenun Pahang Diraja.

Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah akan turut mempunyai kilang yang memaparkan kraf dari seluruh negara, selain menyediakan tempat tinggal untuk keluarga golongan bekas banduan.

“Patik tegaskan patik tidak mahu perkampungan ini hanya untuk bekas banduan, tetapi juga memanggil orang luar yang tidak ada tempat, mereka juga boleh bersama-sama kami semua di sini,” titahnya.

“Ia mengenai menerima mereka semula dalam masyarakat. Ia mengenai penyertaan sosial.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.