Ejen kad prabayar mengaku salah simbah anak dengan air panas

Ejen kad prabayar mengaku salah simbah anak dengan air panas

Mahkamah menangguhkan hukuman ke atas bapa kepada 4 anak itu kerana menunggu laporan perubatan mangsa.

Tertuduh boleh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas 2 pertuduhan menyimbah 2 anaknya dengan air panas, bulan lepas.

Eddy Noramin Ramli, 41, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Radzuan.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman ke atas bapa kepada 4 anak itu kerana menunggu laporan perubatan mangsa dan menetapkan 12 Feb ini untuk menjatuhkan hukuman.

Sejurus itu, peguam Edmund Anthony Herman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan tertuduh dibebas dengan jaminan terlebih dahulu sementara menanti keputusan untuk hukuman.

Menurut peguam itu, Eddy Noramin, ejen jualan kad prabayar, perlu menyara 4 anaknya dengan pendapatan hanya RM500 sebulan dan isteri tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan Eddy Noramin diikat jamin dengan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati kedua-dua mangsa.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan niat mencederakan anak perempuannya berusia 9 tahun, menggunakan air panas hingga melecur badan mangsa di rumah mereka di Flat Kampung Melayu, Ayer Itam, di sini, antara jam 1.00 pagi dan 2.00 pagi, 28 Dis lepas.

Dalam pertuduhan ke-2 pula, dia dituduh melakukan perbuatan sama terhadap anak lelakinya yang berusia 10 tahun di tempat, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan bapa seorang kanak-kanak perempuan yang melecur di beberapa bahagian badan dipercayai disimbah air panas oleh bapanya setelah dia dipercayai menghabiskan makanan keluarganya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.