Polis buru lelaki tampar, ugut juruwang wanita

Polis buru lelaki tampar, ugut juruwang wanita

Lelaki berkenaan mengamuk dan memukul bahagian belakang kepala mangsa kerana tidak dibenar membeli 3 paket minyak masak.

Video rakaman CCTV juruwang ditampar lelaki itu tular di media sosial sejak semalam. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang bertindak menampar dan mengugut seorang juruwang wanita di sebuah kedai serbaneka di Bayan Lepas hanya kerana tidak dibenarkan membeli lebih dari 2 paket minyak masak.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A A Anbalagan hari ini berkata kejadian pada pukul 8.40 pagi semalam itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu yang membantu pihak polis mengenal pasti identiti lelaki berkenaan.

“Hasil semakan rakaman CCTV ini mengesahkan lelaki berkenaan mengamuk dan memukul bahagian belakang kepala mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa berumur 29 tahun itu turut mengadu mengalami kesakitan di bahagian belakang kepala selain mengalami ketakutan ekoran daripada ugutan yang dibuat lelaki terbabit.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan dan Seksyen 323 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Anbalagan berkata berdasarkan laporan mangsa, lelaki berkenaan datang ke kedai itu untuk membeli beberapa barangan termasuk 3 paket minyak masak.

“Apabila diberitahu oleh mangsa bahawa setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli sehingga 2 paket minyak masak sahaja, lelaki berkenaan berang dan memaki hamun mangsa sebelum bertindak menamparnya,” katanya.

Menurutnya sebelum meninggalkan premis berkenaan, lelaki itu turut mengingatkan mangsa supaya berjaga-jaga.

Sementara itu, video rakaman CCTV berkenaan tular di media sosial sejak semalam dan ramai netizen memgecam tindakan lelaki itu dan meminta pihak polis segera mengambil tindakan terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.