Polis tahan 4 individu berhubung kematian bekas calon Pemuda PKR

Polis tahan 4 individu berhubung kematian bekas calon Pemuda PKR

Keempat-empat suspek direman 7 hari bermula hari ini.

4 individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes bekas calon Pemuda PKR dibunuh. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Empat individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes seorang bekas calon Pemuda PKR bahagian Shah Alam yang maut akibat ditetak di tingkat bawah Rumah Pangsa Nilam Sari di Seksyen 7, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata, semua mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun itu ditahan malam tadi di sekitar Shah Alam dan Klang.

“Keempat-empat mereka direman 7 hari bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa M Thiyahu, 30, diserang 3 lelaki bersenjatakan parang yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja sebelum mangsa dibawa oleh orang ramai ke Hospital Shah Alam.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki, dan meninggal dunia kira-kira 6.30 petang ketika sedang menerima rawatan.

Fadzil dalam pada itu memohon orang ramai untuk membantu mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Ozziram M Devan bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.

Lelaki yang digelar Ozi itu dikesan beralamat terakhir di Taman Karupiah, Padang Jawa, Klang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi pegawai penyiasat kes ASP K Vignesh Kumar di talian 03-55202222,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.