
“Kami kini melalui waktu paling sukar dalam hidup. Kami tidak menjangka ini akan berlaku. Sebagai ayah, saya juga mahu tahu perkara sebenar,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini, di mana anaknya, Ahmad Saiful Islam Mohamad, ditahan.
Mohamad berkata, sebagai menteri, beliau perlu mengetepikan kepentingan peribadinya dan membiarkan undang-undang berjalan sendiri dalam mengendalikan kes anaknya itu.
“Saya komited pada prinsip tiada sesiapa mengatasi undang-undang. Tetapi saya juga menjunjung prinsip semua orang tidak bersalah sehingga dibuktikan salah oleh mahkamah undang-undang.”
Saiful Islam, 31, adalah antara 2 lelaki yang dilaporkan positif ganja dalam satu serbuan polis yang turut memeriksa lebih 100 orang.
Presiden Amanah itu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dilantik sebagai menteri pertahahan selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas berikutan kejayaan Pakatan Harapan menewaskan Barisan Nasional. Beliau dilihat rapat dengan Dr Mahathir Mohamad dan mereka kerap berkongsi pentas sewaktu kemuncak kempen pilihan raya.
Kepetahan beliau berpidato dipercayai umum berjaya memenangi hati pengundi di kawasan majoriti pengundi Melayu supaya menyokong PH.
Mat Sabu berkata, isteri beliau “sayu dan sedih” selepas mendengar berita penahanan anak mereka.
Katanya, beliau tidak mampu menghalang orang ramai daripada membuat spekulasi berhubung kes itu, termasuk menuduhnya “gagal sebagai ibu bapa”.
“Bagaimanapun, jika dia benar-benar buat salah, maka saya akan akur kepada kehendak undang-undang,” kata Sabu.
Dalam kenyataan berasingan, Mat Sabu berkata: “Anak saya sama seperti anak orang lain juga tertakluk kepada proses undang-undang negara.”
Tambahnya, kes melibatkan anaknya itu adalah “satu lagi cabaran” baginya untuk membuktikan bahawa integriti dan undang-undang adalah berjalan di bawah kerajaan PH.
“Kita hidup mengikut undang-undang. Keperitan yang saya alami perkara kedua,” kata Mat Sabu.
FMT difahamkan Saiful Islam dibebaskan dengan ikat jamin petang tadi.