Persaraan panglima ATM, KP risik tiada kaitan siasatan SPRM

Persaraan panglima ATM, KP risik tiada kaitan siasatan SPRM

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata Nizam Jaffar dan Razali Alias akan bersara wajib 60 tahun pada tahun depan.

Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata Panglima ATM Nizam Jaffar dan Ketua Pengarah MDIO Razali Alias akan mencapai usia 60 tahun pada 2026. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persaraan Panglima Angkatan Tentera Nizam Jaffar dan Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) Razali Alias tidak mempunyai kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

“Tiada kena mengena dengan siasatan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Khaled turut mengesahkan kedua-duanya akan bersara pada umur 60 tahun mengikut tarikh persaraan wajib masing-masing seperti biasa tahun hadapan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal mengaitkan persaraan dua pimpinan atasan tentera itu dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera yang disyaki terlibat kes penyeludupan dadah Ogos lalu.

Menurut sumber rasmi, Nizam dijadual mula bercuti 1 Jan 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos, manakala Razali pada Disember 2026.

Nizam menjadi panglima tentera yang ke-23 pada 31 Jan. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai komandan Kolej Pertahanan Negara, pengarah pengurusan latihan Komand Latihan dan Doktrin Tentera Darat Malaysia, dan komander Briged Infantri ke-2.

Razali dilantik sebagai ketua pengarah MDIO pada 1 Dis 2023.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan kes tersebut boleh menimbulkan risiko keselamatan negara.

SPRM berkata, pegawai disyaki yang ditempatkan di sempadan selatan negara itu, dipercayai membocorkan maklumat mengenai operasi agensi keselamatan dan penguatkuasaan, sejak lima tahun lalu.

Suspek, termasuk leftenan kolonel, dipercayai memudahkan kemasukan barangan seludup bernilai kira-kira RM5 juta sebulan dari negara jiran, kata SPRM.

Bulan lalu, dua pegawai telah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM126,500. Nama seorang pegawai dirahsiakan oleh mahkamah kerana beliau terlibat dalam kerja perisikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.