Malaysia-Singapura kerjasama kapal selam

Malaysia-Singapura kerjasama kapal selam

Liputan operasi akan merangkum kawasan strategik Laut China Selatan, Selat Melaka, dan Selat Singapura, yang menjadi laluan utama perdagangan antarabangsa.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin dan rakan sejawat dari Singapura, Chan Chun Sing, mengadakan pertemuan di di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Kerjasama penyelamatan kecemasan terhadap sebarang insiden melibatkan kapal selam disepakati Malaysia dan Singapura bagi memperkukuh pengaturan pertahanan antara kerajaan kedua-dua negara.

Perkara itu dicapai hasil pertemuan Menteri Pertahanan Khaled Nordin, dengan rakan sejawat, Chan Chun Sing, sempena lawatan rasmi pertama menteri republik itu ke Malaysia, semalam.

Perbincangan bersama di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, menekankan komitmen kedua-dua negara sebagai negara jiran yang berkongsi laluan perairan strategik, pemeteraian ini akan membolehkan Malaysia dan Singapura bertindak dengan lebih cepat, tersusun dan berkesan apabila menghadapi sebarang situasi kecemasan kapal selam.

Khaled berkata, langkah tersebut diambil selepas menilai kedudukan berdekatan antara dua negara merangkumi aset dan peralatan menyelamat kapal selam serta kepakaran warga kapal selam dimiliki kedua-dua negara.

“Kerjasama itu terjalin atas semangat Asean dan setiakawan yang kuat antara Malaysia dan Singapura.

“Malaysia amat menghargai sokongan Singapura terhadap inisiatif pertahanan yang dibawa, khususnya menjelang penganjuran Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus di Kuala Lumpur pada Oktober ini,” katanya.

Pada masa sama, Singapura turut menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia memudah cara dialog dalam meredakan konflik sempadan Thailand–Kemboja, sekali gus mengiktiraf peranan proaktif negara memperkukuh kestabilan serantau.

Sementara itu, kedua-dua menteri memuji kemajuan dicapai dalam pengaturan berkenaan.

Melalui kerjasama itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) mengiktiraf kerjasama erat yang mencerminkan kesiapsiagaan serta sokongan bersama kedua-dua negara.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut dalam kenyataan memaklumkan Markas Angkatan Kapal Selam TLDM dan TLRS ditetapkan sebagai agensi utama bertanggungjawab dalam penyeliaan dan pelaksanaan inisiatif berkenaan, selain Penyelaras Penyelamat Negara daripada kedua-dua negara juga akan dilantik bagi memastikan komunikasi dan pelaksanaan operasi berjalan lancar.

“Kawasan liputan operasi turut dikenal pasti meliputi perairan utama seperti Laut China Selatan, Selat Singapura, dan Selat Melaka…ini akan memastikan keupayaan penyelamatan dapat dilaksanakan di laluan maritim yang penting bagi keselamatan serantau dan perdagangan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan melalui kerjasama berkenaan, kedua-dua negara komited menyediakan bantuan penyelamatan terhadap sebarang insiden melibatkan kapal selam yang menghadapi kecemasan, bagi memperkukuh kesiagaan pasukan dalam melaksanakan operasi berisiko tinggi.

Kerjasama itu turut melibatkan pertukaran data teknikal dan maklumat operasi antara kedua-dua pihak, malah dengan penyelarasan sistem serta prosedur yang lebih seragam akan membolehkan koordinasi operasi dilaksanakan secara lebih pantas dan berkesan semasa insiden sebenar berlaku.

Kerjasama berkenaan mencerminkan hubungan erat kedua-dua negara dalam memastikan kesiapsiagaan serta keselamatan maritim serantau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.