
Hakim Adlin Abdul Majid membenarkan permohonan ibu Syamsul, Ummu Haiman Bee Daulatgun melalui notis usul difailkan 9 Sept lalu dengan menamakan Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin sebagai responden.
Peguam Naran Singh yang mewakili Ummu Haiman berkata, pihaknya mendapat perintah interim daripada Mahkamah Tinggi sehingga 26 Sept ini, sementara menunggu menteri mengeluarkan surat aku janji supaya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu.
“Kita memohon arahan larangan (gag order) supaya menteri pertahanan dan Kementerian Pertahanan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes kematian Syamsul atas alasan kes masih dalam siasatan.
“Hari ini ialah prosiding pengurusan kes dan ia turut dihadiri penasihat undang-undang Kementerian Pertahanan. Kita sudah mencapai persetujuan, jika mereka mengeluarkan surat aku janji, kita berpuas hati.
“Jadi, pada 26 Sept nanti ialah tarikh pengurusan kes selanjutnya bagi pihak-pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan lanjut,” katanya menurut Berita Harian.
Pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan jenazah Syamsul yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, digali semula untuk menjalani bedah siasat kedua dalam tempoh 14 hari.
Syamsul, 22, dilaporkan meninggal dunia 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor sebelum dikebumikan keesokannya.