
Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu mengejutkan, apabila jumlah kemalangan yang dicatatkan setiap tahun berpunca daripada penggunaan tayar celup.
Katanya, selain itu, kenderaan terlebih muatan seperti lori turut menyumbang kepada punca kemalangan di negara ini.
“Saya sangat terkejut dengan perkara ini. Kalau kita bahagikan setahun, iaitu 365 hari, bermakna sehari 30 kemalangan direkodkan disebabkan tayar celup. Bagi kenderaan terlebih muatan, statistiknya pun begitu tinggi.
“Bagi saya, perkara ini kita akan ambil serius melalui penguatkuasaan untuk memastikan tiada kenderaan terlebih muatan di jalan raya. Kedua, tayar celup tidak selamat,” katanya pada sidang media semalam.
Terdahulu, Baru mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Wilayah Utara LLM sebelum diberi taklimat pelaksanaan operasi dan penyenggaraan lebuh raya serta aspek pengurusan dan operasi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Turut hadir Ketua Pengarah LLM, Datuk Aziz Abdullah.
Baru, yang juga ahli Parlimen Selangau berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.
Mengenai penutupan bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi kerja membaik pulih bangunan warisan itu, beliau berkata, kerja pembaikan dijangka bermula Jun ini dan mengambil masa 2 tahun disiapkan.
“Kerja pembaikan ini akan diuruskan JKR (Jabatan Kerja Raya) dengan anggaran kos RM17 juta. Kerja pembaikan merangkumi baik pulih bumbung, dinding dan struktur yang rosak.
“JKR menyediakan laporan kerosakan dan pengesyoran pembaikan bangunan itu di bawah kategori warisan. Kami akan tengok macam mana bangunan ini akan dipulihkan. Bagi saya, ini adalah satu perkara penting kerana saya juga adalah seorang pencinta warisan,” katanya.
Bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditutup sejak 3 September tahun lepas atas faktor keselamatan dan semua mahkamah tinggi di situ dipindahkan ke Bangunan Annex bersebelahan bangunan utama itu.