
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak 1 Januari itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat maju menjelang 2020.
“Agak terlalu awal untuk mengukur kejayaan penguatkuasaan ini, namun setakat ini kami mendapat maklum balas positif daripada masyarakat,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Promosi Tempat Makan sebagai Tempat Dilarang Merokok dan Pelancaran Program Restart (Restoran Tanpa Asap Rokok dan Tembakau) di sini, semalam.
Turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, kementerian juga sedia menerima sebarang maklum balas dan cadangan orang ramai bagi memastikan penguatkuasaan larangan merokok itu berjaya dilaksanakan.
“Kita juga akan mempertimbang cadangan ruangan khas untuk merokok sebagaimana yang dilaksanakan di Jepun, namun dalam masa 6 bulan ini, kementerian akan memfokuskan penguatkuasaan secara mendidik dengan memberi amaran kepada mereka yang ingkar.”
Beliau berkata, setakat 2 hari pelaksanaan, kementerian melakukan pemeriksaan di 5,746 premis dan mengeluarkan notis amaran sebanyak 2,500 selain mengedarkan 14,237 risalah kesihatan kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, kementeriannya akan turut memberi sokongan kepada usaha itu dari segi penguatkuasaan larangan berkenaan.
“Kempen larangan merokok ini hanya membabitkan 10% ruang yang ada dan perokok boleh memilih 90% lagi kawasan merokok yang lain…kita tidak akan menghalang hak untuk merokok,” katanya.