Tiada orang tak boleh disentuh undang-undang, termasuk raja, kata Dr M

Tiada orang tak boleh disentuh undang-undang, termasuk raja, kata Dr M

Perdana menteri berkata tiada peruntukan yang mengecualikan mana-mana orang daripada kedaulatan undang-undang.

Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan komited menegakkan kedaulatan undang-undang.
PETALING JAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan komited kepada kedaulatan undang-undang, mengatakan tiada orang, termasuk raja, tak boleh disentuh undang-undang.

“Tiada peruntukan yang mengecualikan mana-mana orang daripada kedaulatan undang-undang,” kata perdana menteri dalam catatan pertama di blognya tahun ini.

“Ada mahkamah khas untuk raja-raja tetapi undang-undang sama seperti undang-undang yang dikenakan ke atas orang kebanyakan. Raja-raja juga mesti menghormati undang-undang.”

Beliau berkata Pakatan Harapan berbeza daripada pentadbiran dulu yang dituduh menyalahgunakan undang-undang yang menindas rakyat dan mendedahkan mereka kepada ketakutan.

“Undang-undang asas adalah Perlembagaan. Ia kanun tuntas yang menentukan struktur perundangan dari Yang di-Pertuan Agong kepada raja-raja negeri, kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dan badan-badan yang diberi kuasa untuk memerintah dan menguatkuasa,” katanya.

Beliau rasa terganggu melihat pelanggaran undang-undang dengan menggunakan kekebalan, tetapi tidak memberi penjelasan lanjut.

“Akibatnya boleh diramal. Rakyat menderita kerana ketidakadilan. Perniagaan tidak boleh dilakukan dengan betul. Hartanah dirampas. Tindakan-tindakan luar biasa dan menyalahi undang-undang telah dilakukan,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata aduan orang ramai terhadap tindakan-tindakan seperti itu berasas dan tidak melanggar mana-mana undang-undang.

“Ia tidak akan dianggap sebagai menghasut. Ia akan dianggap sebagai kebebasan bersuara. Rakyat boleh melaporkan perkara-perkara itu atau bercakap mengenainya secara terbuka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.