
Saluran berita tempatan, NBC 7 melaporkan semua migran yang cuba memanjat atau merangkak pagar di sempadan AS-Mexico ke California, bertempur dengan ejen CBP pada awal tahun baru 2019, sejurus kehadiran mereka dikesan ejen terbabit.
Semua migran itu kemudiannya membaling batu ke arah pegawai CBP yang bertindak balas melepaskan tembakan asap, gas pemedih mata dan semburan lada, menurut laporan itu.
Bagaimanapun, sekumpulan sukarelawan berpangkalan di San Diego, sebuah bandar di California Selatan di sepanjang sempadan, berkata peluru getah digunakan ejen CBP dalam pertempuran itu.
Semua migran “diserang dengan tembakan gas dan peluru getah”, kata Enrique Morones, pengasas Border Angels sambil menambah “perbuatan membaling batu tidak dipersetujui” organisasi bukan berasaskan keuntungannya yang menyokong hak asasi manusia, pembaharuan penghijrahan berperikemanusiaan dan keadilan sosial.
Perkhidmatan Berita Bandar San Diego memetik kenyataan pegawai CBP yang melaporkan gas pemedih mata digunakan kerana sesetengah migran di sebelah Mexico membaling batu ke arah ejen pihak berkuasa itu bagi menghalang mereka membantu kanak-kanak yang diangkat melepasi pagar kawat duri.
“Tiada ejen menyaksikan mana-mana migran yang berada di atas pagar, termasuk kanak-kanak, mengalami kesan agen kimia yang disasarkan ke arah pembaling batu terbabit,” menurut CBP.
Laporan menyebut beberapa remaja diangkat melepasi kawat duri dalam jaket tebal dan selimut, manakala 25 migran, termasuk 2 remaja ditahan.
Morones berkata, beliau berang kerana insiden ganas berulang lagi.
“Bulan lepas, 2 kanak-kanak maut ketika dalam tahanan pengawal sempadan dan mereka juga melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah wanita serta kanak-kanak yang menyaksikan beberapa orang cedera. Malam tadi mereka melakukannya lagi.”