CBP catat untung RM124.19 juta tahun lalu

CBP catat untung RM124.19 juta tahun lalu

Co-opbank Pertama terus catat prestasi kewangan cemerlang apabila keuntungan meningkat 3.1% berbanding 2023.

Co-opbank Pertama (CBP) juga merancang untuk menerbitkan sukuk sulungnya tahun ini dengan sasaran terbitan pertama antara RM500 juta hingga RM1 bilion bergantung kepada keadaan pasaran, keperluan pelabur.
PETALING JAYA:
Co-opbank Pertama (CBP) terus menunjukkan prestasi kewangan yang cemerlang dengan mencatatkan keuntungan RM124.19 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 meningkat 3.1% berbanding 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, sehingga 31 Dis 2024, jumlah modal syer CBP mencatatkan lebih RM1.6 bilion dan jumlah ini mencukupi untuk menyokong perkembangan perniagaan pada tahun ini.

Katanya, selaras dengan perkembangan perniagaan, CBP perlu sentiasa memantau dan memastikan kedudukan modal berada pada tahap optimum.

“Pembukaan semula syer keanggotaan CBP pada Jun 2024 adalah bertujuan untuk membantu meningkatkan kedudukan nisbah modal berwajaran risiko ke tahap yang sihat.

“Ini bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan pada masa yang sama mematuhi nisbah kehematan yang ditetapkan oleh kedua-dua pengawal selia CBP iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairil berkata CBP juga merancang untuk menerbitkan sukuk sulungnya tahun ini yang menjadi program RM5 bilion berasaskan konsep Wakalah Bi AlIstithmar dan dikeluarkan secara berperingkat berdasarkan keperluan perniagaan serta keadaan pasaran.

Katanya, sasaran terbitan pertama adalah antara RM500 juta hingga RM1 bilion bergantung kepada keadaan pasaran, keperluan pelabur dan keperluan likuiditi CBP.

“CBP perlu mempelbagaikan asas pembiayaan dan mengekalkan nisbah pembiayaan yang stabil serta penting untuk strategi pengurusan aset dan liabiliti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, CBP juga dalam proses mendapatkan platform pembayaran runcit masa nyata (RPP) yang membolehkan pelanggan menggunakan DuitNow Transfer dan DuitNow QR pada aplikasi HELOCBP dan HELOBiz.

Kata Khairil, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha CBP untuk memberi perkhidmatan
yang lebih baik secara atas talian kepada pelanggan.

“Kami menyasarkan pelaksanaan ini pada suku kedua 2025, yang akan menandakan satu pencapaian penting dalam kemajuan perkhidmatan perbankan digital untuk pelanggan CBP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.