
Beliau berkata perkataan seperti “adinda”, “kekanda” dan kata-kata sayang lain biasanya digunakan dalam surat peribadi atau perbualan antara pasangan kekasih, keluarga atau kawan rapat.
Bercakap kepada FMT, Samad berkata walaupun perkataan itu tidak biasa digunakan dalam perbualan harian, ia kadang-kadang digunakan untuk “berseloroh” dan masih digunakan dalam beberapa persembahan Bangsawan.
“Tidak salahnya menggunakan perkataan itu dalam tulisan anda, berbual antara satu sama lain, tetapi jangan sekali-kali secara terbuka.
“Pastinya, ia menunjukkan anda mencintai orang itu dengan menggunakan perkataan tersebut, tetapi apabila ia melibatkan ahli politik, anda perlu lebih berhati-hati, kerana ia mungkin mempunyai konotasi lain yang mungkin negatif.
“Anda kemudiannya secara tidak sengaja memasuki sempadan yang salah dan akhirnya membahayakan diri sendiri.
“Cara terbaik adalah memastikan ia digunakan secara peribadi. Kadang-kadang, orang tidak sedar, ada masa sensitif, anda perlu memilih perkataan, kata sifat dan kata nama dengan teliti dalam tulisan anda,” katanya.
Samad diminta mengulas surat terbuka Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa kepada Nurul Izzah Anwar supaya memikirkan semula keputusan meletak jawatan kanannya dalam PKR. Surat itu kemudiannya tersebar di media sosial.
Netizen kemudiannya menggunakan perkataan klasik yang digunakan Mujahid sebagai gurauan di media sosial.
Mujahid memberitahu anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim: “Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda”.
“Adinda Nurul Izzah. Kekanda amat yakin kebolehan adinda bukanlah kerana ‘menumpang’ nama besar Datuk Seri Anwar Ibrahim,” antara ayat dalam surat bertajuk “Surat dari Cordova”.
Antara lain, Mujahid yang juga anak bekas pemimpin kanan PAS, Yusof Rawa, memberitahu Nurul Izzah bahawa mereka berkongsi pengalaman hidup yang sama kerana kerjaya politik bapa mereka.
“Pepatah Arab ada mengatakan: ‘Bukanlah anak muda hebat itu yang berbangga tentang kegemilangan ayahnya, tetapi anak muda hebat ialah yang berkata aku adalah aku’,” kata Mujahid.