
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, SAC Fadzil Ahmat mengesahkan pemimpin sayap kanan Melayu itu ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan di Kompleks Keramat Mall, Kuala Lumpur, pada 2.40 petang tadi.
“Memandangkan siasatan lanjut perlu diteruskan atas ugutan untuk serang balai polis, beliau akan direman di mahkamah Klang jam 9 pagi esok.
“Di samping itu, beliau juga akan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat penghinaan ke atas individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Azwanddin ketika berucap dalam Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy di Klang, mengugut akan “serang” balai polis jika pemaju dalam isu penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, tidak ditahan.
Azwanddin turut menyerang P Waytha Moorthy dengan mencadangkan nama menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ditukar kepada panggilan “p*r*a” dan mendakwa Menteri Industri Utama, Teresa Kok mempunyai kaitan dengan pemilik tanah kuil itu.
Hari ini, Kok menuntut Azwanddin memohon maaf dan membayar ganti rugi RM30 juta kepadanya atas dakwaan itu.
Penganjur perhimpunan itu, Abu Bakar Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan mengundang Azwanddin berucap di pentas mereka kerana melanggar syarat perhimpunan aman dengan tidak melakukan provokasi semasa berucap, walaupun beliau sudah memohon maaf kepada pihaknya.
Lebih 1,000 orang berhimpun menuntut keadilan buat Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia 17 Disember lalu akibat cedera parah selepas diserang perusuh dalam protes ganas di luar Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.