
Ketua Polis Hulu Selangor, Ibrahim Husin berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun berhubung kejadian itu pada 2.06 petang.
“Ketika kejadian, mangsa sedang memandu sebuah van dari Bukit Sentosa menuju ke Kuala Lumpur sebelum didatangi seorang lelaki yang mendakwa pengadu cuba melanggarnya.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian bertindak mengeluarkan satu objek menyerupai pistol dan mengugut pengadu,” katanya dalam satu kenyataan lapor Sinar Harian.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hulu Selangor menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun di Bukit Sentosa.
Ibrahim berkata polis turut merampas beberapa barangan termasuk sehelai jaket hitam, satu hos pistol warna hitam bertulis ‘Micro’, satu surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata serta peluru.
“Semakan rekod mendapati suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mempunyai satu rekod lampau membabitkan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman selama tiga hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.