
Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berpendapat, sementara umat Islam tidak patut menyambut perayaan penganut agama lain, tiada salahnya mereka mengucapkan selamat menyambut hari kebesaran.

Katanya, perlu ada fatwa mengisytiharkan orang Islam boleh mengucapkan selamat menyambut Krismas.
Salim berkata fatwa dibuat berdasarkan zaman, tempat, budaya dan situasi, dan lebih kepada usaha mencapai dan memelihara kemaslahatan umum.
Beliau berkata walaupun Krismas berasal daripada ajaran Kristian, ia kini lebih bersifat kebudayaan yang dirayakan oleh pelbagai kaum dan bangsa.
“Situasi di Malaysia yang menuntut hubungan yang baik antara warganegaranya mewajarkan mereka saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata fatwa akan meyakinkan orang Islam bahawa mereka tidak dilarang secara mutlak untuk mengucapkan selamat menyambut hari kebesaran kepada penganut agama lain.
Wan Salim mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang berkata Krismas, yang meraikan kelahiran Jesus, bertentangan dengan ajaran Islam.
Ini kerana penganut Kristian percaya Jesus adalah anak Tuhan dan oleh itu syirik, kata anak kepada presiden PAS itu.
Beliau berkata orang Islam boleh memberi ucapan kepada jiran-jiran beragama Kristian sebagai tanda menghormati, tetapi tidak boleh suka-suka untuk ucap secara umum seperti melalui kiriman di laman sosial.
“Ia seolah-olah menunjukkan keredhaan kepada agama mereka,” katanya lapor Sinar Harian.
Wan Salim berkata sekadar ucapan selamat kepada rakan dan kenalan berbeza agama sempena hari kebesaran mereka tidak menjejaskan akidah atau mengubah kepercayaan seorang Islam.
“Ini hanya untuk melahirkan semangat persaudaraan antara sesama warganegara,” katanya.