Mohd Radzi: PPBM pilihan utama orang Melayu, Bumiputera

Mohd Radzi: PPBM pilihan utama orang Melayu, Bumiputera

PPBM akan menjadi pilihan utama berbanding Umno dan PAS dalam memperjuangkan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Ketua Penerangan PPBM, Mohd Radzi Md Jidin berkata, dinamika politik semasa menunjukkan ramai orang Melayu bersedia bersama PPBM. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bakal mengadakan perhimpunan agung kali kedua hujung minggu ini, dilihat mampu menjadi sebuah parti lebih dominan untuk mewakili orang Melayu dan Bumiputera pada masa depan.

Ketua Penerangannya Dr Mohd Radzi Md Jidin yakin PPBM akan menjadi pilihan utama berbanding Umno dan PAS dalam memperjuangkan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan tanpa mengetepikan hak kaum lain di negara ini.

“Orang Melayu akan melihat kami sebagai parti yang dapat terus membantu mereka… orang Melayu melihat PPBM sebagai alternatif yang ada buat mereka. Dinamik politik semasa menunjukkan ramai orang Melayu kini bersedia untuk bersama dengan PPBM,” katanya.

Dalam temu bual bersama media menjelang perhimpunan agung itu, Mohd Radzi berkata, ini berlaku kerana ramai yang menganggap Umno tidak lagi mampu memainkan peranan tersebut.

Malah katanya, PPBM menjadi tumpuan kerana ia bersama Pakatan Harapan (PH) dalam memperjuang prinsip menentang amalan rasuah di samping menekankan aspek tadbir urus yang baik untuk membawa Malaysia menjadi negara berjaya.

Mohd Radzi berkata, prinsip seumpama itu diabaikan kerajaan terdahulu yang sekali gus terpalit dengan pelbagai skandal, termasuk melibatkan institusi orang Melayu sehingga menghakis kepercayaan mereka terhadap kerajaan itu.

“PPBM akan jauh lebih baik daripada Umno. Ia bukan untuk menggantikan (Umno), kami akan lakukan jauh lebih baik daripada mereka,” katanya.

Perhimpunan agung pertama PPBM selepas PH menerajui kepimpinan negara bakal dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan dari semua peringkat, melibatkan 135 bahagian di seluruh negara dengan 98 bahagian sayap Wanita dan 115 sayap Pemuda.

Perhimpunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu akan dimulakan dengan perasmian sayap Wanita dan Pemuda pada sebelah malam 28 Dis sebelum perhimpunan kedua-dua sayap berkenaan pada keesokannya.

Perdana menteri merangkap Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikan perhimpunan agung parti itu pada sebelah malam 29 Dis.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata isu “lompat parti” selain agenda pembangunan Bumiputera dijangka mendapat perhatian perwakilan pada perhimpunan itu.

Beliau berkata, perwakilan diberi kebebasan untuk membahaskan isu berkenaan susulan dinamik politik semasa yang menyaksikan bekas anggota dan pemimpin Umno mahu menyertai PPBM.

“Kita serahkan kepada jurucakap (perwakilan) untuk berbahas dan tidak dapat tidak, ia (isu lompat parti) akan disentuh,” kata Mohd Radzi.

Mohd Radzi turut menegaskan permohonan penyertaan bekas anggota Umno akan dikaji secara mendalam oleh PPBM sebelum diluluskan demi menjamin integriti dan imej parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.