Jakoa nafi tiada perubahan bawah kerajaan baru

Jakoa nafi tiada perubahan bawah kerajaan baru

Jakoa berkata usaha menyelesaikan tuntutan tanah Orang Asli dipergiatkan.

Datuk Ajis Sitin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan dakwaan pertukaran kuasa kerajaan pusat tidak membawa apa-apa perubahan kepada komuniti itu.

Ketua Pengarah Datuk Ajis Sitin mengulas dakwaan aktivis, Shariffa Sabrina Syed Akil, bahawa gerak kerja kerajaan sekarang sama sahaja dengan kerajaan dulu.

“Ia tidak menunjukkan keadaan sebenar,” katanya, sambil menambah, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, usaha menyelesaikan tuntutan tanah Orang Asli dipergiatkan.

Ajis berkata mempercepatkan pewartaan tanah Orang Asli sentiasa menjadi topik utama dalam mesyuarat-mesyuarat antara Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun dan timbalan, R Sivarasa, bersama menteri-menteri besar.

Beliau juga berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy memberi komitmen perbincangan dengan menteri-menteri besar akan terus dilaksanakan supaya pewartaan tanah Orang Asli dilaksanakan segera.

“Arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan Jakoa bawah Jabatan Perdana Menteri juga membuktikan kerajaan sekarang mengambil berat masalah dihadapi masyarakat Orang Asli kerana urusan dan permasalahan mereka akan sampai terus kepada beliau,” katanya dalam kenyataan.

Shariffa, yang juga presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) di satu wacana hak Orang Asli dan alam sekitar pada Jumaat, mengingatkan kerajaan bahawa ada isu membabitkan masyarakat Orang Asli belum diselesaikan dan oleh itu kerajaan perlu melakukan lebih baik lagi.

“Sebenarnya kita sudah gagal membantu masyarakat Orang Asli. Jika anda mengharapkan bantuan daripada kerajaan Pusat, ia tidak akan berlaku. Saya sendiri sudah mencubanya.

“Saya bangkitkan isu membabitkan 5 individu Orang Asli untuk bertemu Dr Mahathir dan perdana menteri menyatakan kerajaan pusat tidak boleh lakukan apa-apa kerana ia bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Ajis berkata Jakoa sudah beberapa kali berbincang dengan ketua masyarakat Orang Asli dan aktivis untuk menyediakan dokumen mengenai senarai dan lokasi tanah masyarakat Orang Asli di beberapa negeri untuk permohonan pewartaan.

“Namun sehingga kini perkara tersebut kurang mendapat maklum balas,” katanya.

Ajis berkata pewartaan tanah Orang Asli menjadi agenda utama dan di samping itu, pelbagai usaha dan kerjasama dengan agensi kerajaan dan NGO sentiasa dilakukan bagi memastikan bantuan kebajikan mencukupi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.