
Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Ajis Sitin, berharap ketua pengarah akan dilantik mesti seorang yang ‘berjiwa’ Orang Asli, mudah didekati serta mampu menjadi penghubung antara masyarakat itu dan kerajaan.
“Beliau perlu berperanan aktif membantu masyarakat menyelesaikan masalah dihadapi sambil berfungsi sebagai pemudah cara dalam pelaksanaan dasar dan program kerajaan untuk memajukan komuniti Orang Asli.
“POASM berpendapat ramai anak Orang Asli kini berkhidmat dalam sektor kerajaan dengan kelayakan tinggi. Namun, hanya segelintir yang benar-benar memahami aspirasi, budaya dan keperluan masyarakat Orang Asli khususnya dalam aspek pembangunan sosial dan ekonomi,” katanya kepada FMT.
Ajis berkata, calon ketua pengarah juga perlu memiliki pengetahuan mendalam dalam pengurusan sumber manusia, kewangan, kontrak serta perancangan projek pembangunan merangkumi aspek fizikal, ekonomi dan sosial.
“Pelantikan ketua pengarah hendaklah dibuat berdasarkan merit, kelayakan dan keupayaan mengurus hal ehwal pentadbiran kerajaan secara menyeluruh. Lebih penting beliau mampu mengadakan projek fizikal dan bukan fizikal demi manfaat Orang Asli.
“Persatuan ini juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dan membantu kerajaan dalam proses pemilihan tersebut sekiranya diperlukan,” katanya.
Katanya, pelantikan ketua pengarah Jakoa baharu amat dinanti kerana bakal memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju jabatan tersebut ke arah memperkasa kemajuan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.
“Pelantikan ini amat dinanti-nantikan setelah beberapa kepimpinan terdahulu dilihat kurang memberikan impak dan kesungguhan dalam menyelami perasaan serta aspirasi masyarakat Orang Asli.
“POASM menyeru Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melakukan proses pemilihan calon dengan teliti dan bersungguh-sungguh,” katanya.
Jawatan ketua pengarah Jakoa kosong selepas penyandangnya, Sapiah Mohd Nor bersara pada 6 Ogos lalu.
Sapiah dilantik memegang jawatan itu pada 15 Sept 2021, sekali gus mencatat sejarah menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam.