Hina Ahli Parlimen Orang Asli, penjual herba didenda RM1,300

Hina Ahli Parlimen Orang Asli, penjual herba didenda RM1,300

Lelaki dari Seremban itu mengaku bersalah guna istilah 'sakai', perlekeh kepintaran Ramli Nor dalam komen Facebook pada Mei.

ramli nor
Ramli Nor, yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat, menjadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama di negara ini apabila menang kerusi Cameron Highlands pada PRK 2019. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Seorang penjual produk herba dari Seremban didenda RM1,300 oleh mahkamah majistret, selepas mengaku bersalah memuat naik komen menghina Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Nor di Facebook.

Toraise @ Turesh Kumar Munusamy, 53, mengaku bersalah di hadapan Majistret Anis Zainab Pawanteh kerana menggunakan istilah ‘sakai’ dan memperlekehkan kepintaran Ramli dalam komen yang dimuat naik pada kira-kira 9.30 malam, 27 Mei lepas.

Menurut tuduhan, komen itu membangkitkan kemarahan dan berkemungkinan menyebabkan pecah keamanan awam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Herman Kayae, manakala Toraise diwakili oleh R Balamurali.

Terdahulu, Balamurali merayu hukuman terhadap anak guamnya diringankan, memandangkan dia seorang bapa tunggal yang menanggung dua orang anak dengan pendapatan berniaga kecil-kecilan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Katanya lagi, Toraise juga mengaku bersalah, menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas perbuatannya.

Herman bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, sambil menegaskan bahawa tindakan tertuduh boleh memecahkan keamanan awam.

Ramli, yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat, menjadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama di negara ini apabila menang kerusi Cameron Highlands dengan majoriti 3,238 undi pada PRK 2019.

Beliau mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua ketika PRU15 pada 2022, meraih majoriti lebih besar sebanyak 4,544 undi.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebelum ini pernah mengeluarkan peringatan bahawa perkataan Jakun dan Sakai, walaupun merujuk kepada suku kaum Orang Asli, membawa konotasi negatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.