3 remaja ragut lelaki OKU ditahan polis

3 remaja ragut lelaki OKU ditahan polis

Suspek melarikan beg sandang mangsa yang memiliki RM29 dengan membonceng motosikal bersama 2 lagi rakannya.

3 remaja lelaki cuba meragut lelaki OKU di depan sebuah bank di pekan Kulim, Kedah.
ALOR SETAR:
Polis menahan 3 remaja lelaki yang cuba meragut seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) di depan sebuah bank di pekan Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ahmad Nasir Jaafar berkata dalam kejadian pada 5.30 pagi itu, 4 anggota polis yang sedang melalui kawasan pasar awam berhampiran, terdengar jeritan dari arah bank berkenaan.

“Dua anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan melihat seorang lelaki yang memegang 1 objek panjang, sedang menarik beg sandang milik mangsa manakala 2 lagi suspek berada di atas motosikal jenis SYM E-Bonus.

“Suspek kemudiannya melarikan beg sandang mangsa dengan membonceng motosikal bersama 2 lagi rakannya, namun semua suspek yang berumur 16 tahun itu berjaya ditahan di Jalan Kilang Sagu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata pihaknya menemui semula beg sandang mangsa yang berisi wang tunai sebanyak RM29 serta merampas 3 telefon bimbit milik suspek, 1 batang paip dan sebuah motosikal yang digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.

“Semua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan siasatan akan diteruskan selepas perintah reman diperoleh. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.