Wan Saiful: Kenyataan 2 Adun Perlis akan keluar Umno hanya analogi

Wan Saiful: Kenyataan 2 Adun Perlis akan keluar Umno hanya analogi

Setiausaha PPBM Perlis itu berkata, kenyataan itu dijadikan analogi untuk menunjukkan kekuatan Umno tidak lagi kukuh.

Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan Perlis pimpinan BN akan terbubar jika 2 lagi adunnya keluar parti kerana BN Perlis akan berbaki 7 wakil rakyat daripada keseluruhan 15 kerusi di DUN.
PETALING JAYA:
Setiausaha PPBM Perlis, Wan Saiful Wan Jan menafikan 2 lagi Adun Perlis akan meninggalkan Umno seperti dilaporkan media semalam.

Beliau berkata, kenyataannya itu hanya dijadikan analogi untuk menunjukkan kekuatan Umno tidak lagi kukuh.

“Saya nyatakan kerajaan negeri Perlis ini senang sahaja untuk digugat. Kalau 2 orang (Adun) saja keluar Umno, tinggal 7, maka itu pun dah boleh menyebabkan kerajaan Umno terbubar.

“Dalam saya buat analogi itu, dah ramai yang bertanya bila ia akan berlaku. Bukan maksud saya memang ada 2 orang yang nak keluar. Kalau 2 orang saja ubah selera, itu pun akan jadi masalah,” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam, Wan Saiful dilaporkan berkata, 2 lagi Adun BN Perlis dijangka keluar parti untuk menyertai PPBM dalam masa terdekat.

Beliau yang tidak menamakan 2 wakil rakyat itu berkata, mereka bersih daripada skandal.

“Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, BN Perlis akan berbaki 7 wakil rakyat, termasuk seorang wakil MCA, setelah Datuk Ismail Kassim (Tambun Tulang) keluar dari Umno dan menjadi wakil rakyat bebas pada 20 Jun lepas.

“Situasi ini di jangka menggugat kerajaan BN Perlis,” katanya semalam.

Ketika ini, Dewan Undangan Negeri Perlis dikuasai BN dengan 9 kerusi, Pakatan Harapan melalui PKR menguasai 3 kerusi, PAS (2) dan bebas (1).

Hari ini, Wan Saiful berkata, fokus PPBM Perlis sekarang ialah menunjukkan kepada rakyat ia tidak pilih bulu dalam perkhidmatannya.

Katanya, bantuan yang diberikan dalam program “Shopping Back To School” semalam dilakukan melalui yayasan bagi memastikan prosesnya telus dan mengelakkan ia dipolitikkan.

“Niat kita ialah membantu semua tanpa mengira latar belakang. Insya Allah kita teruskan fokus untuk berkhidmat kepada rakyat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.