Putrajaya akan gubal akta lindungi penyumbang, penerima Food Bank Malaysia

Putrajaya akan gubal akta lindungi penyumbang, penerima Food Bank Malaysia

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata, undang-undang khas itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada akhir 2019.

Saifuddin Nasution Ismail (baju biru) dan Lim Guan Eng (3 dari kanan) melawat pusat operasi Food Bank pada Majlis Pelancaran Program Food Bank Malaysia di Kompleks Masyarakat Penyayang hari ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kerajaan berhasrat mewujudkan undang-undang khas bagi melindungi penyumbang dan penerima program Food Bank Malaysia menjelang akhir tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dibangkitkan dalam masyuarat Kabinet dan sasarannya adalah undang-undang itu dapat dibentangkan dalam Parlimen pada akhir 2019.

Menurutnya, program ini akan mula dilaksanakan di seluruh negara mulai Januari tahun depan dan pada masa sama, proses menggubal undang-undang bagi melindungi bukan sahaja penerima bantuan, bahkan penyumbang bantuan juga berjalan serentak.

“Namun, sebelum proses menggubal undang-undang, kita kena ambil pengalaman dari negara lain seperti Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Afrika Selatan dan Singapura kerana mereka telah mula laksanakan program ini.

“Dalam mengambil pengalaman negara lain, kita juga kena bagi acuan tempatan,” katanya selepas Majlis Pelancaran program Food Bank Malaysia di Kompleks Masyarakat Penyayang hari ini.

Saifuddin yang juga Adun Pantai Jerejak menerangkan antara komponen acuan tempatan yang perlu diambil fokus adalah makanan halal dari hotel.

“Elemen dalam undang-undang perlu merangkumi semua aspek dan makanan halal ini perkara yang sensitif dan perlu diambil serius agar tidak mendatangkan sebarang masalah,” katanya.

Beliau yakin dengan adanya undang-undang baru yang jelas, program ini mampu menarik lebih ramai penyertaan.

“Misalnya sekarang, jenama antarabangsa yang menjadi penyumbang bimbang kalau mereka beri sumbangan dan ada sedikit kecacatan yang menyebabkan pengguna akhir itu ada masalah, jadi mereka akan terdedah kepada tindakan undang-undang.

“Jadi, kita kena meneliti semua aspek seperti itu agar semua kebimbangan itu akan terjawab selepas undang-undang baru dibentang.”

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan program Food Bank Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.