13 juta rakyat belanja RM1 bilion bawah SARA

13 juta rakyat belanja RM1 bilion bawah SARA

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menolak dakwaan penggunaan MyKad untuk menikmati bantuan itu menyukarkan warga emas atau penduduk luar bandar.

SARA BANTUAN 100
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kadar penebusan Penghargaan SARA di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak antara tertinggi di seluruh negara.
LABUAN:
Hampir 13 juta rakyat Malaysia yang layak telah menebus bantuan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barangan keperluan membabitkan perbelanjaan berjumlah RM1 bilion.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata inisiatif itu sangat membantu kumpulan isi rumah B40, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Di Sabah, lebih 98% daripada 1.2 juta penerima yang layak telah menggunakan SARA untuk membeli barangan keperluan, manakala di Labuan, 65% daripada hampir 50,000 penerima menebus RM100 mereka.

Amir Hamzah turut menolak dakwaan penggunaan MyKad untuk menikmati bantuan itu menyukarkan warga emas atau penduduk luar bandar.

“Ini terbukti dengan kadar penebusan di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak antara tertinggi di seluruh negara,” katanya selepas melawat peruncit menyertai program SARA di sini, semalam.

Beliau berkata, skim itu turut memanfaatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menikmati jualan lebih kukuh susulan peningkatan kuasa membeli penerima.

“Jumlah kedai runcit yang menyertai SARA meningkat daripada 7,300 pada awal tahun kepada lebih 8,100 (ketika ini) di seluruh negara.”

Katanya, hampir sembilan juta rakyat Malaysia layak untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), manakala liputan SARA diperluas kepada 5.4 juta penerima mulai 1 April lalu, iaitu hampir lapan kali ganda daripada 700,000 penerima terdahulu.

Penerima dibenarkan menebus penghargaan SARA bagi pelbagai jenis barangan keperluan, termasuk makanan ruji seperti beras, roti dan telur; keperluan memasak (minyak masak, tepung) barangan dalam tin dan mi segera, produk kebersihan diri (sabun, ubat gigi, tuala wanita), produk pembersihan rumah, ubat-ubatan, alat tulis dan pakaian seragam.

“Kategori ini memastikan keluarga bukan saja memenuhi keperluan pemakanan harian mereka, tetapi juga akses kepada barangan keperluan isi rumah pada harga berpatutan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.