Suhakam: Guru di 7 sekolah agama rakyat, pusat tahfiz tidak terlatih

Suhakam: Guru di 7 sekolah agama rakyat, pusat tahfiz tidak terlatih

Suhakam juga mendedahkan skim gaji yang selaras kepada guru dan kakitangan sekolah tidak wujud.

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melaporkan guru-guru di 7 sekolah agama rakyat dan pusat tahfiz yang dilawati tidak terlatih.

Laporan tersebut merupakan hasil dapatan lawatan ke 5 sekolah di Selangor, 1 di Kuala Lumpur dan 1 di Johor, yang diuruskan pihak berkuasa agama negeri dan orang persendirian.

Ia bertujuan memastikan kanak-kanak yang didaftarkan menikmati “hak pendidikan yang berkualiti, termasuk kemudahan dan prasarana yang berkualiti, dan guru terlatih.”

Ia juga bagi mendapatkan kerjasama Kementerian Pendidikan, pihak berkuasa agama, dan NGO bagi “mempertingkatkan kualiti kemudahan dan membantu sekolah terutama dari aspek fizikal, kewangan, dan latihan para guru.”

“Suhakam mendapati para guru di sekolah merupakan guru yang tidak terlatih,” katanya dalam Laporan Tahunan Suhakam 2017 yang diterbitkan semalam.

“Guru yang ditemubual mendakwa mereka hanya mengajar berdasarkan pendekatan akal, menerusi pengalaman masing-masing dan pemerhatian terhadap guru-guru lain.”

Suhakam berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan kursus jangka pendek, tetapi bukan berkala dan “tidak semua guru berpeluang untuk mengambil bahagian.”

“Bagaimanapun, kementerian telah menjemput sebilangan kecil guru untuk menghadiri kursus dalaman,” katanya.

Suhakam juga berkata guru, pentadbir dan penjaga kanak-kanak harus diberi latihan menangani situasi berbahaya seperti kebakaran, keracunan makanan, penyakit berjangkit dan gangguan seksual, selain penguasaan kemahiran pedagogi.

“Berkenaan isu buku teks, kementerian telah mula menyediakan bantuan buku kepada sekolah berkenaan. Bagaimanapun, Suhakam dimaklumkan kadangkala terdapat buku yang berada dalam keadaan kurang baik,” katanya.

Selain itu, Suhakam mendedahkan skim bayaran gaji yang selaras kepada guru dan kakitangan sekolah tidak wujud.

“Namun begitu, jumlah gaji didapati meningkat berbanding tahun sebelumnya.

“Suhakam berpendapat gaji guru sekolah tahfiz swasta dan sekolah agama rakyat swasta perlu dibayar mengikut skim gaji minimum kerajaan,” katanya.

Ia juga melaporkan semua sekolah yang dilawati sedar tentang hak kanak-kanak untuk memperoleh pendidikan berkualiti seperti yang termaktub dalam Perkara 29 Konvensyen Kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.