Makan roti tanpa kebenaran, warden didenda RM1,200 tampar pelajar tahfiz

Makan roti tanpa kebenaran, warden didenda RM1,200 tampar pelajar tahfiz

Pelajar berusia 16 tahun ditampar di pipi kiri dan kanan sehingga mendatangkan kecederaan.

gavel
Tertuduh, Mohd Norzaizhul Zainudin, 41, mengaku salah di Mahkamah Majistret Kemaman. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Warden pusat tahfiz didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Kemaman kerana menampar sehingga cedera seorang pelajar yang makan roti keping tanpa kebenaran, pada April lalu.

Tertuduh, Mohd Norzaizhul Zainudin, 41, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Sharifuddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menampar bahagian kiri dan kanan mangsa berusia 16 tahun sehingga cedera.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan Norzaizhul di asrama pusat tahfiz berkenaan di Kemaman, pada 3.45 petang, 26 April lalu, lapor Kosmo.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pemdakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi, manakala tertuduh diwakili Masliela Ismail.

Menurut laporan, warden itu berang kerana roti berkenaan adalah sebahagian menu sarapan bagi semua pelajar yang sepatutnya dijamah hari berikutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.